ILYA Liyana tidak geli memegang katak pacman peliharaannya.
ILYA Liyana tidak geli memegang katak pacman peliharaannya.
Nurul Husna Mahmud


REAKSI kebanyakan orang apabila terpegang atau terpijak katak pasti akan memberi reaksi geli kerana tidak tahan dengan tekstur badan haiwan itu yang lembik dan berlendir.

Ada juga langsung tidak boleh melihat spesies amfibia berkenaan yang mempunyai kegemaran melompat selain kerap dilihat menangkap serangga dengan lidahnya yang panjang .

Berbeza dengan reaksi gadis manis kelahiran Kota Bharu, Kelantan, Ilya Liyana Azhar, 27, yang mempunyai minat mendalam terhadap haiwan itu apabila memelihara empat spesies katak unik dari luar negara dikenali sebagai pacman.

Menurut Ilya Liyana, hobi memelihara haiwan eksotik itu terdorong apabila sepupu perempuannya, Farahanim Mohd Rafee, 26, terlebih dahulu memiliki koleksi haiwan eksotik selepas bekerja dengan taman haiwan di sebuah pusat peranginan di Gambang, Pahang.

"Saya sebelum ini pernah bela ular, kala jengking dan lipas sehinggalah beralih kepada katak pacman pada tahun 2015. Saya tertarik apabila melihat warna katak pacman cukup menyerlah serta berwarna-warni.

"Untuk koleksi peribadi, saya sedang memelihara empat ekor. Kalau dihitung sejak awal saya pelihara katak eksotik ini, sebenarnya sudah lebih 10 ekor. Sebahagian dijual dan ada juga mati.

"Dalam koleksi saya ialah Green Pacman, Albino Pacman, Strawberry White Pacman dan Strawberry Pineapple Pacman," katanya.

"Katak pacman ini berlainan dengan ular yang pernah saya pelihara sebelum ini. Kalau ular, lecehnya ia boleh kencing dua hingga tiga kali sehari. Kena cuci atau tukar pelapik sangkarnya.

ILYA Liyana tunjukkan kotak khas digunakan bagi menyimpan katak kesayangannya.
ILYA Liyana tunjukkan kotak khas digunakan bagi menyimpan katak kesayangannya.

PERLU sediakan kolam air untuk bermain kerana sifatnya dua alam.
PERLU sediakan kolam air untuk bermain kerana sifatnya dua alam.

"Tetapi katak pacman ini kalau sudah laras 'tank' (sangkar) yang ada tempat untuk 'bedding' (berehat), kolam berair dan lubang untuk bersembunyi sudah memadai.

"Lagipun katak pacman ini makan tiga hingga empat hari sekali dan biasanya jenis diet bergantung kepada pilihan makanan diambil selain saiznya sama ada dewasa atau masih anak katak.

"Contohnya, untuk anak katak pacman, saya akan beri tiga hingga ke empat ekor ulat burung (mealworms atau larva dari kumbang Alphitobius diaperinus). Manakala katak pacman dewasa, saya akan beri makan tikus makmal yang sudah dibekukan," katanya.

Anak kedua daripada lima beradik itu mengakui meskipun hobi itu tidak disertai adik-beradik

yang lain namun keluarganya tidak menghalang dia memelihara katak itu.

Dalam keluarga hanya saya yang minat sehingga sanggup pelihara haiwan eksotik ini. Adik-beradik lain lebih banyak membantu apabila perlu mengalihkan katak pacman ketika lakukan kerja-kerja mencuci kotak simpanan.

"Bagi mereka yang mahu memelihara katak eksotik ini perlu sediakan kotak atau sangkar yang berlainan bagi setiap katak.

"Sifatnya sangat 'territorial' dan akan makan apa sahaja melintas di depannya tidak terkecuali tangan pemilik jika anda tidak tahu kaedah mengendalikan haiwan ini.

"Saya sering gunakan sarung tangan apabila memegang kerana katak ini seperti katak yang lain iaitu menghasilkan lendir pada kulit selain langkah berjaga-jaga kalau ia menggigit," katanya.

KATAK pacman dewasa boleh makan tikus makmal saiz kecil.
KATAK pacman dewasa boleh makan tikus makmal saiz kecil.

ALBINO Pacman antara mendapat permintaan dalam kalangan peminat spesies itu di Malaysia.
ALBINO Pacman antara mendapat permintaan dalam kalangan peminat spesies itu di Malaysia.

Bagi memastikan katak kesayangannya selesa, gadis manis ini begitu teliti dalam penyediaan sangkar simpanan apabila turut menggunakan 'cocopeat' sebagai 'bedding,' kolam air dan juga tumbuhan renek selain batu berlumut supaya menyerupai ciri-ciri habitat asal haiwan berkenaan.

Sementara itu, wakil kedai haiwan peliharaan Mystique Creatures, Amir Zairuddin Hisham menjelaskan katak pacman antara haiwan yang makin mendapat perhatian peminat haiwan eksotik.

Katanya, katak berkenaan adalah spesies katak tidak beracun dari sebelah Amerika Selatan seperti Brazil dan Argentina. Ciri-ciri katak unik ini ialah warna selain corak tompokan membuatkan peminatnya teruja untuk memilikinya.

"Kepuasannya ialah dapat melihat sendiri haiwan ini membesar di depan mata. Jika ada tompokan pada kulit ia akan nampak lebih ketara. Fakta lain ialah walaupun memiliki warna menonjol katak ini tidak beracun.

"Cuma tabiat katak ini ialah makan semua benda lalu di depannya termasuklah katak daripada spesies yang sama. Namun pemilik perlu tahu diet terbaik dengan memastikan kalsium dan vitamin D3 mencukupi.

"Jika kurang nutrisi berkenaan, katak terbabit berisiko menghidap Metabolic Bone Disease (MBD) iaitu gangguan pada kerangka atau tulang," katanya.

Ciri-ciri lain katak berkenaan ialah saiz jantannya lebih kecil berbanding betina. 'Mengahwinkan' katak spesies ini antara cabaran terbesar kerana berpotensi makan antara satu sama lain.

"Kebanyakan katak ini dibawa masuk dari luar dan tidak perlu permit atau lesen sebagaimana ular dan burung tertentu.

"Cumanya kalau hendak cuba 'breeding' (dapatkan baka) kena pelajari teknik daripada mereka yang benar-benar pakar. Setahu saya di Malaysia hanya seorang dua berjaya 'kahwinkan' katak mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 April 2021 @ 7:00 AM