KELAB MVT memiliki 108 orang ahli.
KELAB MVT memiliki 108 orang ahli.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Ramai yang lebih gemar memilih motosikal berkuasa tinggi untuk menubuhkan kelab motosikal dan melakukan konvoi menggunakan kenderaan berkenaan kerana dilihat lebih bergaya.

Berbeza pula dengan Kelab Moden Vespa Terengganu (MVT) yang memilih Vespa moden sebagai kenderaan rasmi kelab terbabit. Ia bagi memberikan kelainan.

Lebih menarik, walaupun motosikal itu bersaiz kecil namun tidak menghalang ahli kelab menganjurkan konvoi ke Haytai, Thailand yang disertai 10 ahli Kelab MVT tahun lalu.

Baru-baru ini pula, Kelab MVT mengadakan sambutan ulang tahun ke-3 penubuhannya di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu yang dihadiri 100 ahli.

Presiden Kelab MVT, Andi Ahmad Burhanuddin Ghalam Sani berkata, konvoi dari Kuala Terengganu ke Hatyai itu membabitkan perjalanan 1,400 kilometer dan mengambil masa lapan jam.

“Kami ke Hatyai kerana mahu berkonvoi ke luar negara menggunakan laluan darat dan wilayah itu adalah lokasi pertama pada Mei tahun lalu.

“Ini kerana sebelum ini kami sudah menjelajah ke serata negeri di Semenanjung,” katanya.

ANDI Ahmad Burhanuddin (tengah) memotong kek ulang tahun ke-3 Kelab MVT di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
ANDI Ahmad Burhanuddin (tengah) memotong kek ulang tahun ke-3 Kelab MVT di Duyong Marina Resort, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Katanya, pada 13 April ini sekali lagi kelab itu bakal mengadakan konvoi ke Hatyai selama tiga hari dan menjangkakan lebih ramai ahli menyertainya.

Berkongsi sejarah ringkas penubuhan kelab berkenaan, Andi Ahmad berkata, ia bermula sekadar hobi oleh beberapa ahli kelab terbabit selepas mengetahui kewujudan Kelab Moden Vespa Malaysia yang berpusat di Kuala Lumpur.

“Kemudian mereka menubuhkan Kelab MVT yang pada peringkat awalnya hanya mempunyai 30 ahli.

“Kini kami mempunyai 108 ahli dan kelebihan penubuhan Kelab MVT membolehkan ahli mengenali setiap Kelab Moden Vespa di negara ini,” katanya.

Jelasnya, kebanyakan ahli kelab memiliki motosikal berkuasa tinggi dan Vespa moden itu adalah motosikal kedua mereka.

Andi Ahmad Burhanuddin berkata, pembabitan mereka dalam kelab itu bukan sekadar untuk berseronok semata-mata, tapi secara tidak langsung mendedahkan mereka dengan kerja amal seperti memberi sumbangan kepada golongan kurang bernasib baik dan sekolah pondok di selatan Thailand serta seluruh negara yang menjadi antara aktiviti utama kelab berkenaan.

AHLI Kelab MVT menggayakan vespa moden.
AHLI Kelab MVT menggayakan vespa moden.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 10:49 AM