POTONGAN dan saiz baju sesuai membantu pemakai selesa ketika melakukan aktiviti sukan. - FOTO Google
POTONGAN dan saiz baju sesuai membantu pemakai selesa ketika melakukan aktiviti sukan. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud


KEBANYAKAN orang lebih teliti memilih pakaian untuk tampil ke majlis makan malam berbanding peka dengan pemakaian sesuai untuk aktiviti kecergasan.

Pada mereka pakaian untuk tampil dalam sebarang acara tidak boleh dipilih secara melulu.

Begitu juga sebenarnya dalam pemilihan pakaian beriadah atau bersukan kerana banyak perkara perlu diambil kira.

Dalam melakukan aktiviti luar terutama membabitkan sukan berisiko dan berintensiti tinggi seperti larian mahupun pendakian, pemilihan pakaian yang salah boleh menyebabkan komplikasi kecederaan serius.

Melakukan aktiviti pendakian cerun tinggi dan licin tanpa tapak yang mempunyai 'grip' baik umpamanya, boleh memungkinkan kemalangan serius termasuk ancaman kepada nyawa.

Sikap ambil mudah terhadap pemilihan pakaian sukan sebenarnya boleh memberi implikasi lain termasuk prestasi bagi mereka yang mempunyai sasaran seperti marathon dan sebagainya.

Seperti mana tentera memerlukan senjata untuk berperang, bagi penggiat sukan, pakaian sukan antara elemen penting dalam membantu meningkatkan prestasi mereka.

Dalam satu kajian terhadap atlet mempunyai prestasi baik termasuk Tiger Wood yang gemar memilih warna merah pada hari kejohanan penting dikatakan memberi impak psikologi positif kepada atlit itu.

Justeru, seperti mana anda memilih pakaian untuk bersiar-siar, pakaian sukan juga perlu diteliti berdasarkan kriteria tertentu.

Berikut antara tip boleh dijadikan panduan dalam memilih pakaian untuk aktiviti bersenam dan kecergasan:

MERAH dikatakan membantu meningkatkan keyakinan kepada pemakai. - FOTO Google
MERAH dikatakan membantu meningkatkan keyakinan kepada pemakai. - FOTO Google

RUJUK dengan mereka berpengalaman supaya persiapan atau pakaian dikenakan sesuai dengan aktiviti yang disertai. - FOTO Google
RUJUK dengan mereka berpengalaman supaya persiapan atau pakaian dikenakan sesuai dengan aktiviti yang disertai. - FOTO Google

1. Pilih pakaian berdasarkan aktiviti atau rutin senaman

Sebelum memilih pakaian, kenal pasti dahulu jenis aktiviti yang disertai supaya pakaian dikenakan dapat membantu dalam aktiviti terbabit.

Sebagai contoh aktiviti di air pastinya berbeza dengan material dikenakan ketika anda mendaki atau membuat larian pada malam hari.

Sebaiknya dapatkan nasihat individu berpengalaman atau pakar dalam aktiviti berkenaan supaya persiapan anda lengkap terutama dalam pemilihan pakaian sesuai.

2. Pilih material betul

Tidak semua fabrik sesuai untuk semua aktiviti dilakukan. Namun, disarankan bagi aktiviti bersenam dan riadah santai bersama keluarga sebaiknya mengenakan fabrik yang mempunyai pengudaraan baik.

Selalunya material jenis menyerap iaitu kapas masih antara pilihan terbaik berbanding mana-mana jenis fabrik kerana material itu mempunyai penyerapan baik selain unsur semula jadi.

3. Pilih saiz dan potongan yang betul

Selesa adalah subjektif bagi setiap individu, namun sebaiknya cari pakaian yang tidak terlalu ketat bagi aktiviti intensiti tinggi kerana membantu anda bernafas dengan baik selain tidak mengalami sebarang 'kejutan' (heat stroke).

Bagi yang bertubuh besar, mereka perlu cari potongan yang dapat membantu memberi sokongan pada tubuh. Aspek ini termasuk pilihan baju dalam kerana itu akan membantu anda selesa ketika melakukan aktiviti sukan.

4. Warna juga memainkan peranan

Meskipun warna bergantung kepada cita rasa dan minat individu, namun ada kajian menerangkan warna tertentu boleh membantu menaikkan 'mood' yang baik ketika bersenam.

Warna terang seperti kuning dan jingga membantu meningkatkan rasa segar atau tumpuan sepanjang aktiviti, sementara warna merah dikatakan sesuai untuk mereka yang sedang bertanding atau berlawan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 6:49 AM