KONSEP rumah perlu serasi dengan lantai. - FOTO Google
KONSEP rumah perlu serasi dengan lantai. - FOTO Google
Hafiz Ithnin


BAGI mereka yang sudah memiliki rumah baharu atau ingin merubah aura ruang dalaman, kerja pengubahsuaian antara yang sering diberi perhatian.

Tidak keterlaluan jika dikatakan minat untuk mengubah hiasan lantai menjadi fokus kebanyakan pemilik rumah kerana ia mampu memberi kesan pada keseluruhan ruang.

Bagaimanapun, mungkin ada antara pemilik rumah yang berasa 'sesak' dengan pelbagai pilihan hiasan lantai di pasaran.

Jururunding hiasan dalaman bebas, Muhammad Adli Maarup berkata, lantai memainkan peranan penting dalam sesebuah rumah kerana ia bukan sahaja mampu memberi nafas baharu pada ruang, malah menawarkan ciri-ciri praktikal kepada penghuni.

Jelasnya, ketika ini dengan teknologi bahan pembinaan terdapat pelbagai jenis material yang boleh dijadikan lantai dari jubin hingga lantai berona kayu yang sinonim dengan vinyl.

"Perkara utama sekali yang perlu dititikberatkan dalam hiasan dalaman termasuk aktiviti menukar lantai ialah kos. Anda perlu pastikan hiasan lantai berkenaan tidak kira jenis jubin atau vinly, ia perlu sesuai dengan bajet.

"Jika mempunyai kemahiran, anda boleh lakukan sendiri. Namun, jika anda bersikap cuba-cuba, saya nasihatkan supaya menggunakan khidmat mereka yang berpengalaman kerana ia boleh menyebabkan pertambahan kos jika gagal untuk disiapkan," katanya.

PEMASANGAN lantai kelihatan mudah, tetapi mencabar jika tidak pernah melakukannya. - FOTO Google
PEMASANGAN lantai kelihatan mudah, tetapi mencabar jika tidak pernah melakukannya. - FOTO Google

Muhammad Adli berkata, konsep rumah juga memainkan peranan penting dalam menentukan jenis hiasan lantai diinginkan pemilik.

Katanya, lantai antara titik fokal apabila berada dalam rumah dan keserasian dengan konsep amat penting supaya ia tampak senada serta tidak canggung.

"Pemilik perlu tahu mengenai konsep rumah secara keseluruhan. Contohnya, memilih konsep Inggeris, pemilik boleh memadankan dengan lantai jubin, kayu asli atau vinyl.

"Begitu juga dengan konsep masa kini yang menjadi ikutan ialah industri, pemilihan lantai simen yang mempunyai lapisan 'epoxy' tahan lasak perlu dilakukan supaya mudah untuk memadankan dengan rona dinding atau perabot," katanya.

Tambahnya, pemilihan jenis lantai juga berkait rapat untuk menjadikan rumah tampak luas atau sebaliknya.

Justeru, pemilik perlu memastikan jenis dan rona lantai mampu memberi fungsi pencahayaan.

Di bilik tidur umpamanya, digalakkan memilih jenis lantai yang tidak terlalu memantulkan cahaya selain warna sedikit kelam lebih sesuai kerana ia tempat berehat.

Berbanding di ruang tamu yang memerlukan ciri-ciri sebaliknya kerana sering menjadi tumpuan aktiviti harian penghuni.

"Selain itu, kita juga perlu tahu bahawa lantai bukan sekadar hiasan, tetapi ia perlu seiring dengan fungsi memandangkan ia antara bahagian yang paling kerap disentuh.

LANTAI memberi kesan kepada pencayaan dalam rumah. - FOTO Google
LANTAI memberi kesan kepada pencayaan dalam rumah. - FOTO Google

"Apabila memilih lantai, kita tidak boleh lihat kepada kecantikan sahaja, tetapi perlu tahu fungsinya sama ada tahan lasak atau tidak dan permukaannya juga sesuai dengan keperluan penghuni," katanya.

Jelasnya, perkara itu lebih penting jika ia mempunyai manfaat khusus kepada penghuni seperti jika yang mendiami adalah warga emas atau kanak-kanak, lantai tidak seharusnya bersifat mudah licin atau boleh memberi kesan kepada kesan tapak kaki.

"Seperti kita tahu, terdapat individu yang mempunyai tapak kaki sensitif dengan permukaan lantai seperti simen yang menyebabkan tapak kaki mudah merekah, jadi pilih kualiti mampu memberi kebaikan kepada kesihatan penghuni itu sendiri.

"Jika mempunyai kanak-kanak di rumah khasnya, pastikan lantai jenis mudah untuk dibersihkan supaya kotoran tidak terus melekat dan menjadi kotoran kekal," katanya.

Muhammad Adli menasihatkan, perkara lebih utama ialah penelitian secara keseluruhan mampu memberi kesan yang baik dalam membuat aktiviti pengubahsuaian lantai.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Ogos 2021 @ 6:35 AM