PAKAIAN bayi perlu mempunyai kelestarian.
PAKAIAN bayi perlu mempunyai kelestarian.
Hafiz Ithnin


APABILA menimang cahaya mata, pastinya wujud rasa teruja dalam kalangan ibu bapa kerana si kecil itu menjadi pelengkap dalam kehidupan berumahtangga.

Malah, terdapat juga ibu bapa yang sanggup berbelanja besar terutama membeli pakaian bayi atau kanak-kanak tanpa perlu berkira.

Mungkin juga, wujud golongan ibu bapa yang amat mementingkan jenama pakaian anak mereka kerana merasakan pakaian yang mahal mempunyai kualiti terbaik dan mampu mengangkat prestij.

Penganalisis Fesyen, Prof Dr Zuhaili Akmal Ismail berkata, untuk busana kanak-kanak dua kriteria yang perlu menjadi keutamaan adalah kelestarian iaitu mampu digunakan untuk jangka masa panjang dan juga kualiti.

"Untuk bayi dan kanak-kanak kedua-dua kriteria ini adalah penting kerana kulit mereka yang lebih sensitif berbanding golongan dewasa.

"Dari segi isu lestari, fesyen bukan hanya mengenai stail tapi dari segi kesan kepada alam sekitar dan juga etika manusia," katanya.

PEMILIHAN kualiti terutama material penting untuk memastikan keselesaaan si kecil.
PEMILIHAN kualiti terutama material penting untuk memastikan keselesaaan si kecil.

Jelasnya, kebanyakan busana kanak-kanak adalah dari industri fast fashion. Definisi fast fashion ini adalah pakaian yang murah, 'trendy,' dihasilkan dalam skala besar dan selalu mengikuti perkembangan trend.

Katanya, disebabkan harganya yang lebih murah, kualiti busana itu juga sering dipersoalkan.

"Menurut House of Common Environmental Audit Committee, industri 'fast' fesyen adalah penyumbang kepada masalah perubahan iklim yang lebih tinggi berbanding industri penerbangan.

"Malah tiga dari lima barangan busana 'fast' fesyen akan dibuang selepas dua atau tiga kali dipakai kerana daya tahan yang sangat rendah.

"Kebanyakan produksi industri 'fast' fesyen ini juga tidak dapat dikawal dari segi etika kemanusiaan kerana membabitkan pekerja produksi yang tidak mematuhi piawaian bagi memenuhi permintaan pengguna," katanya.

BAJU kanak-kanak bukan sekadar perlu menarik tetapi mampu memberi keselesaan.
BAJU kanak-kanak bukan sekadar perlu menarik tetapi mampu memberi keselesaan.

Jelasnya, menurut The Guardian, tercatat 170 juta kanak-kanak di bawah umur 18 tahun di seluruh dunia menjadi buruh untuk industri 'fast' fesyen.

"Mereka dibayar jauh di bawah upah minimum dan tidak mempunyai pilihan kerana faktor kemiskinan. Majoriti mereka terbabit dengan kerja di kebun kapas, proses memintal atau penenunan kain dan sehingga saat kain dijahit.

"Bagi pemilihan busana kanak-kanak yang mematuhi elemen lestari di Malaysia, anda boleh memilih jenama yang memperjuangkan visi dan misi ke arah isu ini," katanya.

Jelasnya, sebagai contoh, terdapat jenama sebuah firma peruncitan fesyen antarabangsa berjanji untuk mengurangkan sumbangan mereka kepada masalah rumah hijau dan menggunakan 100 peratus bahan kitar semula untuk semua koleksinya secara progresif sehingga tahun 2030.

"Dari segi etika kemanusiaan juga, jenama ini mendapat penarafan 71 hingga 80 peratus dari Fashion Transparency Index.

PEMILIHAN kain kapas semula jadi dilihat sesuai untuk si kecil.
PEMILIHAN kain kapas semula jadi dilihat sesuai untuk si kecil.

"Fashion Transparency Index adalah penarafan yang digunakan untuk jenama fesyen ke arah jenama beretika dari segi tenaga buruh, pembuatan, polisi pekerja dan produksi," katanya.

Zuhaili berkata, kualiti juga adalah elemen yang penting untuk busana kanak-kanak. Fabrik yang mempunyai sifat merenggang akan memberi ruang untuk kanak-kanak menggayakan lebih lama kerana kanak-kanak membesar dengan cepat.

"Pemilihan warna juga adalah penting. Elakkan memilih warna-warna klise seperti warna merah jambu untuk kanak-kanak perempuan dan biru untuk kanak-kanak lelaki.

"Material kapas juga mempunyai pelbagai gred. Kebanyakan material kapas di luar sana mungkin mempunyai pengaruh bahan-bahan kimia seperti 'pesticide', 'fertilizer', peluntur yang memberi kesan alahan kepada kulit dan daya tahan yang rendah," katanya.

Tambahnya, sebaiknya memilih material daripada kapas organik atau material yang mendapat pengiktirafan sijil Global Organic Textile Standard International Working Group.

"Kebanyakan busana yang diperbuat dari kapas organik lebih mahal berbanding material kapas yang lain. Menurut kajian, jenama yang menggunakan bahan kimia ketika pemprosesan kapas akan meningkatkan kemungkinan masalah kesihatan jangka masa panjang seperti asma, radang kulit, kanser dan masalah penyakit yang membahayakan.

PROF Dr Zuhaili Akmal Ismail
PROF Dr Zuhaili Akmal Ismail

"Pemilihan warna juga patut dititikberatkan dengan tona warna kulit kanak-kanak berikut. Bagi kanak-kanak dengan tona warna kulit kuning langsat penggayaan warna-warna ceria dan terang seperti pastel, merah, hitam dan biru terang akan membuatkan penampilan lebih terserlah," katanya.

Jelasnya, untuk kanak-kanak yang berkulit sawo matang sangat sesuai dengan warna kuning atau hijau. Penggayaan warna kelabu atau berona gelap akan membuatkan kanak-kanak kelihatan kusam.

"Warna yang universal sesuai untuk kedua-dua rona warna kulit adalah seperti putih, merah jambu cair, teal atau ungu. Bagi penampilan yang lebih sofistikated padanan warna seperti tangerine dan mustard juga kelihatan lebih bergaya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:30 AM