BAU badan kadangkala menyebabkan pasangan rasa kurang selesa.
BAU badan kadangkala menyebabkan pasangan rasa kurang selesa.
Hafiz Ithnin


Sebelum ini, rakan setugas penulis ada membuat artikel dengan tajuk, Wanita Jangan Selekeh. Nampaknya warganet hebat membincangkan isu ini ya?

Sebagai laporan yang berbentuk 'seimbang,' sengaja penulis mencadangkan topik yang sama tetapi sebaliknya menjurus kepada si suami dan meminta Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara dan Pengamal Ilmu Kaunseling United Kingdom, Dr Airil Haimi Mohd Adnan mengulasnya. Adil bukan?

Mana tidaknya, jika si isteri didambakan ketika di rumah umpama cantik menyarung gaun malam 'bareback' bak peragawati di atas pentas peragaan, adakah seimbang jika si suami hanya berkain pelekat lusuh, boxer sendat berlubang atau hanya baju pagoda buat hiasan mata si isteri?

Dr Airil menjelaskan, dari sudut psikologi perhubungan romantis, keadilan amat perlu untuk menjaga perhubungan berkenaan.

"Keadilan di sini bermaksud suami dan isteri sama-sama memahami dan berusaha untuk memenuhi keperluan hubungan itu, bukan hanya keperluan individu semata-mata.

"Ini tidak bermaksud bahawa keperluan individu tidak penting iaitu kedua-duanya sama penting dan tidak boleh diabaikan. Sebenarnya, keperluan individu yang diabaikan sering menimbulkan kebencian hingga merosakkan perhubungan," katanya.

Katanya, kalau suami sahaja yang meminta si isteri bersolek dan bergaya sakan di rumah tetapi suami itu pula selalu selekeh dan langsung tidak ambil pusing akan penampilan diri, tentulah perlakuan itu tidak adil kepada si isteri.

"Keadilan diperlukan untuk memenuhi keperluan suami dan isteri dalam perkahwinan mereka. Untuk memastikan ada nilai keadilan dalam rumah tangga, ada tiga perspektif yang perlu dipertimbangkan iaitu diri anda, pasangan anda, dan hubungan anda bersama-sama," katanya.

SUAMI perlu juga berdandan ketika di rumah.
SUAMI perlu juga berdandan ketika di rumah.

Jelas beliau, pada hemat seorang suami, isterinya yang tidak mahu bertata rias di rumah tentulah tidak menerbitkan rasa senang hati malah mungkin membuat dia berasa jelek melihat isteri sendiri.

"Kita nampak hal ini semacam kecil dan remeh. Namun, hakikatnya daya tarikan antara dua jantina termasuk juga rupa paras fizikal. Ini naluri semula jadi manusia tidak kira lelaki mahu pun wanita.

"Tetapi yang selalu kita dengar suami yang amat menitikberatkan kecantikan dan rupa paras isteri. Sampaikan ada pula yang sanggup bermain kayu tiga dengan alasan isteri tidak lagi menarik dan dia sudah tidak ada perasaan kepada isteri sendiri," kata Dr Airil.

Beliau menambah, seperti kata pepatah, kuman di seberang laut kita nampak, gajah di depan mata sendiri tidak pula terlihat. Kalau suami boleh meminta isterinya berhias setiap masa, tidak ada alasan untuk suami itu pula selekeh setiap masa.

SEGAK suami bukan sahaja ketika di luar rumah malah ketika di rumah.
SEGAK suami bukan sahaja ketika di luar rumah malah ketika di rumah.

"Suami moden harus ada nilai neomaskulin yang amat menjaga penampilan diri. Kalau kita lelaki segak dan bergaya, kita harus sedar bahawa ini memberi kesan yang amat positif kepada diri kita.

"Kenapa berhenti kelihatan segak dan bergaya di rumah sendiri? Ya, mungkin anda berasa selesa memakai seluar pendek dan singlet sahaja setiap hari. Tetapi tidakkah anda tahu isteri anda yang berasa rimas melihat keletah anda?," katanya.

Tambahan pula, penampilan yang menarik tidak hanya bergantung kepada pakaian semata-mata. Rambut yang terurus, bulu-bulu badan yang rapi sama ada di dalam hidung atau di celah ketiak, waima nafas yang berbau harum sekali pun, semua ini memberi kesan yang amat positif bukan hanya kepada lelaki itu tetapi isterinya juga.

"Tidak ada lagi alasan untuk lelaki neomaskulin atau lelaki moden alaf baharu untuk membiarkan dirinya kelihatan seperti 'bigfoot' atau 'sasquatch' di dalam rumah sendiri.

"Apabila suami kelihatan menarik, sudah tentu isteri akan berasa tertarik, bukan? Maka, kehangatan asmara dan nilai romantis perhubungan tidak akan pernah padam," katanya.

Beliau menambah, jangan pula setakat segak bergaya pada awal perkahwinan. Lelaki yang macho adalah lelaki yang semakin meningkat usia semakin kelihatan yakin dan berketrampilan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 September 2020 @ 6:30 AM