MEMBANTU menguruskan anak-anak bersama dapat mengeratkan hubungan keluarga.
MEMBANTU menguruskan anak-anak bersama dapat mengeratkan hubungan keluarga.
Hafiz Ithnin

"MEREKA (suami) tidak sehebat mana pun, kalau tangan dan kaki terasa begitu berat untuk membantu isteri sendiri. Apatah lagi semua orang bekerja dalam norma baharu!," kata Ahli Daftar Kaunseling Profesional UK dan Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan.

Beliau mengulas apabila melihat terdapat tanggungjawab di rumah diserahkan secara total kepada si isteri. Sedangkan isteri itu secara dasarnya hanya membantu bukan sekadar menguruskan rumah tangga malah menambah pendapatan keluarga.

"Realiti ini berlaku kerana struktur persempadanan jantina dalam kehidupan seharian kepada mereka yang sudah mendirikan rumah tangga khasnya," katanya.

Jelasnya, 'rumah' terlihat sebagai daerah kekuasaan isteri dan ibu, kaum hawa juga yang kelihatan amat terkesan apabila terpaksa melakukan dwipekerjaan dalam satu masa iaitu bekerja dari rumah dan bekerja menguruskan rumah.

MEMBANTU isteri di dapur dapat menjadikan si suami lebih ‘macho’.
MEMBANTU isteri di dapur dapat menjadikan si suami lebih ‘macho’.

"Hal sama dirasai ramai wanita bukan hanya di negara membangun malah di negara maju juga. Walaupun dikatakan hidup di negara maju lebih adil dan berkualiti, realitinya wanita tetap lebih terkesan berbanding lelaki," katanya.

Dr Airil berkata, secara tradisional, suami sebagai ayah yang keluar bekerja mencari rezeki. Isteri pula kekal di rumah sebagai pembina keluarga bahagia yang mengelola hidup suami dan anak-anak. Amanah ini amat berat.

"Hari ini pula ramai wanita yang keluar bekerja untuk menambah pendapatan, tetapi pada masa sama mereka masih memegang amanah rumah tangga.

"Dalam norma baharu bekerja dari rumah, tidak hairan kalau kita melihat betapa tertekannya emosi dan mental wanita moden sebagai insan bekerjaya, isteri dan ibu," katanya.

Katanya, namun ada cahaya di hujung jalan dengan syarat ahli keluarga turut belajar dan membantu menguruskan hidup dan bekerja dalam norma baharu.

"Kita sudah masak dengan gelaran 'ibu rumah tangga' atau suri rumah. Dalam norma baharu ini, lelaki perlu maju ke depan dan menjadi 'bapa rumah tangga' juga.

KERJA rumah wajib dibantu suami dalam norma pasangan bekerja dari rumah.
KERJA rumah wajib dibantu suami dalam norma pasangan bekerja dari rumah.

"Tidak patut dan tidak adil kalau wanita yang bekerja dari rumah terbiar tanpa bantuan. Tidak kira suami itu pengarah atau profesor, apabila sama-sama bekerja dari rumah sudah pasti lelaki tidak boleh hanya fokus kepada pekerjaan sendiri sedangkan keadaan rumah tunggang-langgang!," katanya.

Katanya, tidak menjadi sesuatu yang pelik jika urusan menjaga anak misalnya, dilakukan lelaki dan ayah yang bergelar ketua pegawai eksekutif di pejabat.

"Malu kalau bergelar ketua, tetapi di rumah kerjanya goyang kaki sahaja. Hakikat ini perlu difahami dan diaplikasi dalam rutin hidup setiap lelaki bekerjaya yang kini bekerja dari rumah," katanya.

Katanya, sebagai suami paling tidak memberikan masa senggang sejam dua kepada isteri untuk berehat. Waktu berehat walaupun hanya sebentar dapat mengurangkan stres dalam diri.

"Norma baharu yang sedang kita semua hadapi ini bukan sekadar perlu perubahan tindakan, tetapi yang lebih utama, minda kita juga perlu diperbaharui untuk amat berempati dan sama-sama membantu satu sama lain dalam menjalani hari sukar ini.

"Jika anda wanita bekerjaya yang memainkan peranan sebagai isteri dan ibu bekerja dari rumah, walaupun payah lagi sukar, anda perlu meletakkan diri di tempat nombor satu," katanya.

Dr Airil berkata, ertinya wanita yang bergelar isteri dan ibu tidak boleh mengetepikan keadaan mental, emosi serta fizikal anda semata-mata untuk memastikan suami dan anak-anak dalam keadaan baik kerana ia boleh memberi kesan negatif kepada diri sendiri terutama kesihatan.

"Jangan rasa bersalah jika terpaksa mencuri waktu sejam dua untuk berehat dan tiga empat jam lagi untuk memberi fokus penuh kepada kerjaya anda.

"Tidak ada formula mudah untuk meringankan beban yang dirasai dan dihadapi wanita bekerjaya yang juga isteri serta ibu. Bekerja dari rumah bukan situasi ideal untuk mereka jika tidak mendapat kerjasama daripada si suami," katanya.

Katanya, bagaimanapun konsep ini tidak patut dilihat sebagai sumpahan atau penyebab stres di luar kawalan. Suami yang memahami, anak-anak yang berdisiplin misalnya, pasti dapat membantu meringankan beban dari segala sudut.

"Fokus primer atau yang paling tinggi, perlu diberikan kepada diri sendiri terlebih dahulu. Baru nanti wanita akan mampu mengimbangi antara kerjaya mereka, famili dan diri mereka khasnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mac 2021 @ 6:25 AM