ASAP kelihatan susulan letupan berkenaan. FOTO AFP
ASAP kelihatan susulan letupan berkenaan. FOTO AFP
AFP

Phnom Penh: Sekurang-kurangnya 23 askar Kemboja terbunuh dalam satu letupan di pangkalan tentera, menurut Perdana Menteri, Hun Manet.

Letupan pada kira-kira 2.45 petang di pangkalan tentera di wilayah Kampong Speu di sebelah barat ibu negara itu, turut mencederakan beberapa askar.

Tentera memaklumkan keseluruhan sebuah trak yang mengandungi peluru, bahan letupan dan senjata api turut meletup.

"Saya amat terkejut menerima berita mengenai kes letupan berkenaan. Takziah kepada keluarga mangsa yang terbunuh," kata Hun Manet dalam kenyataan di Facebook.

Tidak jelas apa yang menyebabkan letupan itu, manakala gambar di media sosial menunjukkan bangunan setingkat yang musnah diselubungi asap, dengan penduduk kampung berhampiran turut berkongsi imej kerosakan pada rumah.

Imej lain menunjukkan orang yang kelihatan seperti orang awam, termasuk seorang kanak-kanak, yang mengalami kecederaan dan dirawat di hospital.

Letupan senjata api bukanlah sesuatu yang luar biasa di Kemboja, yang dipenuhi dengan bahan letupan dan peluru berikutan konflik sivil sejak berdekad lalu, yang diburukkan lagi dengan piawaian keselamatan yang agak longgar.

Tentera Kemboja menyifatkan kejadian itu sebagai 'letupan gudang peluru', yang memusnahkan sebuah trak sarat dengan peluru, bahan letupan dan senjata api.

Dalam kenyataannya, Hun Manet berkata beliau sudah mengarahkan menteri pertahanan dan ketua komander Angkatan Bersenjata Diraja Kemboja untuk segera mengatur pengebumian askar yang terkorban.

Beliau juga berkata, keluarga mangsa yang terbunuh akan menerima kira-kira AS$20,000 (RM95,390) setiap seorang, manakala tentera yang cedera akan mendapat AS$5,000 (RM23,847).

Kemboja dipenuhi dengan peluru, bahan letupan dan senjata, saki-baki yang dibuang sepanjang perang saudara sejak 1960-an.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 8:55 AM