HUBUNGAN suami isteri boleh renggang sekiranya perasaan marah yang tidak boleh dikawal.
HUBUNGAN suami isteri boleh renggang sekiranya perasaan marah yang tidak boleh dikawal.
Hafiz Ithnin


KETIKA bercinta bukan main lagi lembut, penyayang dan jika meninggikan suara juga seakan tersekat pada anak tekak. Namun, selepas berkahwin baharu tahu pasangan jenis cepat marah atau panas baran!

Mungkin situasi ini berlaku dalam segelintir masyarakat dan mungkin juga berlaku kepada anda sendiri.

Membincangkan mengenai pasangan sama ada isteri atau suami jenis panas baran, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA dan Pengamal Ilmu Kaunseling United Kingdom, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, marah adalah suatu tindak balas semula jadi dan secara automatik terhadap kesakitan fizikal atau lazimnya kerana gangguan emosi.

Jelasnya, kemarahan berlaku apabila seseorang tidak sihat, ditolak atau tidak diterima, terancam atau mungkin sedih atas rasa kehilangan yang berlaku dalam hidupnya.

Tidak kira sama ada faktor luaran atau dalaman yang merengsa seseorang untuk marah, kesan 'angin tajam panas baran' dek kemarahan itu yang sentiasa menjadi masalah besar dalam famili, organisasi dan komuniti.

"Dalam perhubungan romantis, bahang kemarahan ini semakin mudah meletus kerana keterikatan kuat antara suami-isteri. Maka, tidak hairan kalau kita sering terdengar kes keganasan rumah tangga di mana pelaku selalunya si suami.

SIKAP panas baran kadangkala boleh menyebabkan tindakan luar emosi termasuk keganasan rumah tangga.
SIKAP panas baran kadangkala boleh menyebabkan tindakan luar emosi termasuk keganasan rumah tangga.

"Dalam teks perubatan 'Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders' yang menjadi panduan global untuk isu kesihatan mental, perangai ini dilabel 'Intermittent Explosive Disorder' (IED) atau gangguan ledakan emosi yang berlaku selang-seli," katanya.

Katanya, tidaklah logik kalau seseorang itu pula yang terpaksa menjadi amat berhati-hati dengan tutur kata dan kelakuan apabila berdepan seseorang yang panas baran, sedangkan yang panas baran itu dengan senang hati boleh marah sesiapa sahaja yang dia ingini.

"Malah, sudah pasti panas baran itu bukan alasan logik akal sehingga seorang suami boleh memukul isterinya sampai patah riuk dan terpaksa dimasukkan ke hospital.

Dr Airil berkata, beberapa fakta penyelidikan saintifik khasnya dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat, semakin membantu kita faham gangguan IED atau panas baran ini.

"Pertama adalah ia berkaitan dengan keturunan. Kalau bapa mertua panas baran dan kaki pukul, anaknya sebagai suami berkemungkinan besar juga ada perangai sama.

"Kedua, orang yang panas baran bersifat amat impulsif. Misalnya, jika mereka melihat orang lain marah kepada mereka, mereka akan bereaksi spontan dan amat cepat marah kembali," katanya.

Tambahnya, ketiga, panas baran berkait rapat dengan ketidakmampuan seseorang untuk menangani tekanan atau stres yang berat. Maka, mereka bereaksi dengan baran dan marah hingga tahap bertindak ganas.

SIFAT panas baran pasangan boleh memberi kesan buruk kepada anak-anak.
SIFAT panas baran pasangan boleh memberi kesan buruk kepada anak-anak.

"Dalam konteks ini, mungkin lebih bijaksana jika seorang wanita yang ingin berkahwin menyiasat terlebih dahulu tiga fakta di atas sebelum melangkah melalui gerbang perkahwinan dengan seorang lelaki.

"Benar, secara logiknya tidak ada manusia pun yang suka-suka marah kepada orang lain apatah lagi bertindak ganas. Tetapi, perlu diingat dalam rumah tangga apabila pertengkaran menjadi semakin hebat dan suami serta isteri sama-sama tidak mahu beralah, kelak tahap stres yang kritikal akan berlaku dan mungkin membawa kepada tindakan ganas pula," katanya.

Katanya, setiap orang boleh dan akan marah. Ia suatu kebiasaan dan selalunya dapat dikawal dan diredakan perasaan toksik berkenaan. Namun, di alam perkahwinan, kalau si suami cepat rasa tercabar atau sering pula dicabar oleh isterinya, dapatkah dia meredakan perasaan itu dengan cepat?

"Paling terbaik dan logik adalah sama-sama membantu meredakan stres, mengubat kesedihan dan mencari ketenangan. Itu sebabnya orang berkahwin bukan? Tetapi, apabila berlaku perdebatan hangat kemudian pertengkaran hebat, kita khuatir keganasan akan berlaku dengan cepat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2020 @ 6:40 AM