HEUNG-MIN (kanan) menjaringkan gol menerusi sepakan penalti untuk merapatkan jurang dengan Arsenal. FOTO AFP
HEUNG-MIN (kanan) menjaringkan gol menerusi sepakan penalti untuk merapatkan jurang dengan Arsenal. FOTO AFP
AFP

London: Mikel Arteta percaya kemenangan sengit Arsenal 3-2 ke atas seteru setempat, Tottenham, malam tadi, membuktikan mereka mampu menangani tekanan dalam cabaran indah untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL).

Anak buah Arteta mendahului 3-0 sebelum rehat perlawanan derby London utara itu sebelum menghalang kebangkitan lewat Tottenham untuk kekal di puncak liga.

The Gunners kini satu mata mengatasi juara bertahan yang menduduki tangga kedua, Manchester City, yang menang 2-0 di Nottingham Forest hanya beberapa jam selepas wisel penamat aksi di Stadium Tottenham Hotspur.

City yang beraksi kurang satu perlawanan dilihat pasukan pilihan untuk menang gelaran keempat berturut-turut yang tidak pernah berlaku di liga utama Inggeris.

Tetapi, Arteta yakin pasukannya akan membuatkan City bermandi peluh sehingga ke garisan penamat selepas mereka melepasi jadual perlawanan dikatakan sukar tanpa kekalahan.

Ditanya jika Arsenal yang memburu gelaran pertama sejak 2004, menunjukkan watak sesuai sebagai juara, Arteta berkata: "Saya fikir begitu, 100 peratus. Saya melihatnya setiap hari sejak awal musim.

"Apa yang menanti di depan sangat cantik, perbezaan sangat kecil. Sudah tentu kami menjangka akan memberi cabaran ke akhir garisan.

"Jangan terbawa-bawa dengan diri sendiri. Kami mahu menjadi lebih baik dan ada ruang melakukan peningkatan. Bermain sebaik mungkin menentang Bournemouth hujung minggu depan kerana ia akan benar-benar mencabar dan sukar."

Gol sendiri Pierre-Emile Hojbjerg meletakkan Arsenal di depan pada awal perlawanan sebelum Bukayo Saka dan Kai Havertz menambah dua lagi gol yang membolehkan Arsenal mendahului dengan selesa sebelum rehat.

Cristian Romero merapatkan jurang huat Tottenham selepas dia menolak masuk bola hasil kesilapan hantaran oleh penjaga gol Arsenal, David Raya.

Son Heung-min menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-87 selepas Declan Rice melakukan kekasaran tidak sepatutnya ke atas Ben Davies, sekali gus menyajikan aksi penuh debaran di penghujung perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 8:07 AM