HUBUNGAN antara menantu dan mentua boleh erat jika kedua-duanya bijak menjaga keharmonian ketika tinggal sebumbung (gambar hiasan).
HUBUNGAN antara menantu dan mentua boleh erat jika kedua-duanya bijak menjaga keharmonian ketika tinggal sebumbung (gambar hiasan).
Oleh Hafiz Ithnin
hafizithnin@mediaprima.com.my


BAGI pasangan yang berumah tangga, baik si isteri atau si suami siapa yang tidak mahu duduk di rumah sendiri tanpa tinggal sebumbung dengan keluarga pasangan?

Namun, ada antara pasangan yang perlu ibu atau bapa tinggal serumah dengan mereka meskipun sudah berumah tangga.

Tidak kurang juga, jika si suami masih tidak mampu menyediakan rumah untuk si isteri dan terpaksa tinggal dengan keluarga mentua.

Dengarnya seperti mudah bukan? Ada kalanya bergelora juga rumah tangga biar pun pasangan saling mencintai apatah lagi jika perlu tinggal dengan mentua. Pasti kadangkala timbul konflik jiwa dan raga!

Mengulas mengenai isu itu, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, situasi pasangan yang sudah berkahwin tinggal dengan keluarga mentua dalam kalangan masyarakat bukan sesuatu yang baharu.

Katanya, terdapat pasangan yang dapat melayari kehidupan dengan baik serta bahagia, pada masa sama tidak kurang bilangan yang terpaksa berdepan pelbagai cabaran apabila suami dan isteri tinggal sebumbung dengan keluarga mentua.

"Hal yang paling kecil pun bakal menjadi masalah serius, apatah lagi apabila berlaku pertengkaran atau pergaduhan besar antara pasangan.

"Isunya di sini, terlampau banyak kita dengar kisah yang menakutkan seperti filem seram apabila isteri dan suami tinggal serumah dengan mentua," katanya.

Tambahnya, terdapat juga momokan dengan begitu banyak cerita 'seram' sebegini sampaikan pasangan yang baharu bernikah takut untuk tinggal di rumah mentua barang sebentar.

"Ya, benar. Ada kes kurang elok yang kita dengar bila pasangan yang baharu sahaja mendirikan rumah tangga tinggal bersama ibu dan bapa mentua. Ada ibu mentua yang membuli menantu secara fizikal, ada pula kisah bapa mentua yang membuat 'kacau' yakni ganggu seksual terhadap anak menantunya.

"Bagaimanapun, kes seperti ini masih terpencil dan berada di bawah kawalan. Cumanya kes minoriti ini menjadi terlalu sensasi apabila dilaporkan media massa kemudian diviralkan melalui media sosial," katanya.

PERSEFAHAMAN antara menantu dan mentua penting jika tinggal bersama (gambar hiasan).
PERSEFAHAMAN antara menantu dan mentua penting jika tinggal bersama (gambar hiasan).

Jelasnya, tiada salahnya kalau anak menantu mahu tinggal bersama ibu dan bapa mentua.

"Malah, tidak menjadi kesalahan dari sudut moral atau perspektif agama juga bila anak dan menantu tinggal sebumbung dengan ibu bapa kandung atau ibu bapa mentua.

"Apabila tinggal sebumbung, perasaan terkongkong tidak dapat kita elakkan begitu juga tindak-tanduk dan tutur kata perlu lebih cermat dijaga apabila hidup sebumbung dengan orang tua selepas melangkah gerbang perkahwinan," katanya.

Airil berkata, bagi pasangan yang beragama Islam pula, menjaga aurat dan tatasusila perlu diberi perhatian yang serius, lebih-lebih lagi apabila tinggal dengan ipar-duai yang berlainan jantina di bawah bumbung sama.

"Semua ini boleh membawa kepada stres dan sakit hati yang tidak perlu. Ini belum lagi ditambah dengan pergeseran kecil yang pasti mewarnai hidup semua pasangan suami isteri.

"Secara kebetulan, ia menjadi salah satu alasan yang kuat supaya semua pasangan suami isteri tinggal berdikari di rumah sendiri," katanya.

Katanya, sebenarnya dalam tempoh enam bulan pertama dalam perkahwinan boleh dilihat sebagai fasa faham-memahami antara satu sama lain.

'Memahami' pasangan kita tidak semestinya berlaku dalam suasana penuh romantis dan berbunga-bunga sahaja.

"Memahami pasangan juga terjadi apabila berlaku pergeseran atau pertengkaran kecil antara pasangan yang saling sayang-menyayangi. Masalahnya, apabila tinggal sebumbung dengan mertua sudah pasti suami dan isteri terpaksa lebih memendam rasa hati mereka.

"Memang isteri dan suami perlu menjaga aib dan air muka masing-masing. Namun, apabila terlalu memendam rasa dalam fasa kenal-mengenali antara satu sama lain tentu hal ini tidak akan mendatangkan kesan positif kepada perkahwinan mereka," katanya.

Jelanya lagi, dilema, konflik dan masalah sememangnya perlu ada dalam perhubungan romantis.

"Perkara ini supaya perhubungan itu menjadi lebih utuh dan terbitnya persefahaman yang lebih tinggi antara kedua-dua pasangan.

"Sayangnya ia tidak akan mudah berlaku apabila tinggal sebumbung dengan mertua bila mana setiap tutur kata dan perilaku perlu dikawal ketat untuk memberi imej yang penuh positif kepada orang tua kita," katanya.

Ulasnya, semakin lama pasangan suami isteri itu tinggal bersama maka makin payah pula usaha mereka untuk menerbitkan kesefahaman yang tinggi yang terhasil apabila terpaksa berdepan 1001 dilema, konflik dan masalah dalam melayari bahtera perkahwinan.

"Adakah ini semua bermaksud semua pasangan suami isteri tidak boleh tinggal sebumbung dengan ibu mentua dan bapa mentua? Sebenarnya tidak juga," katanya.

Menurutnya, isunya adalah terpaksa memendam rasa dan terlampau mengawal diri hingga mereka berdua tidak dapat hidup seperti normal.

"Normal di sini bermaksud pergeseran, pertengkahan dan pergaduhan romantis yang biasa berlaku dalam setiap ikatan perkahwinan. Malah, tidak normal dan tidak pula produktif apabila suami dan isteri tidak merasai walau sedikit pun rasa negatif serta kepayahan selepas berumah tangga.

IBU bapa yang sudah tua pastinya memerlukan perhatian anak-anak.
IBU bapa yang sudah tua pastinya memerlukan perhatian anak-anak.

"Cuma perlu diingat, tidak ada salah besar apabila anda tinggal dengan keluarga mentua lebih-lebih lagi jika perhubungan yang terjalin amat rapat dan positif. Cumanya dengan berdikari, anda akan terasa lebih kebahagiaan dan kenikmatan hidup antara pasangan suami dan isteri sahaja," katanya.

Katanya, biar apa pun jalan hidup yang dipilih selepas ikatan perkahwinan yang sah diikat oleh kedua-dua belah pasangan, yang paling utama adalah untuk menjadikan fasa kenal-mengenali peribadi satu sama lain sebagai salah satu kenangan yang paling manis dalam hidup kita.

"Tangani sebarang isu berkaitan famili mertua dengan penuh rasa rendah diri namun berhemah tinggi. Kalau dirasakan lebih elok anda dan pasangan duduk di tempat lain, ambil keputusan yang perlu.

"Lebih penting adalah kebahagian yang dapat dkongsi bersama-sama. Bukankah ini sebab sebenar kenapa anda dan suami atau isteri berkahwin tidak berapa lama dahulu?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2020 @ 7:01 AM