BELAJAR untuk mendengar luahan pasangan.
BELAJAR untuk mendengar luahan pasangan.
Hafiz Ithnin


SEDANGKAN lidah lagi tergigit, inikan pula hubungan suami isteri. Begitulah hakikatnya apabila bercerita mengenai 'isu dalam kain' rumah tangga kerana krisis atau ketegangan emosi pasti boleh berlaku.

Ada juga yang mengusik, jika ingin aman dalam rumah tangga si suami perlu pekak dan isteri perlu buta. Maka sukarlah berlaku krisis hubungan suami isteri.

Ia sudah menjadi asam garam dalam rumah tangga. Ada yang mengatakan jika lebih kerap beremosi, rasa sayang itu sebenarnya lebih menebal.

Bagaimanapun, kadang-kala dalam proses pujuk memujuk, sering kali dikatakan komunikasi itu adalah kunci segala-galanya untuk meredakan ketegangan krisis. Bagaimana pula jika komunikasi itu gagal?

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, komunikasi adalah dasar dan kunci kejayaan dalam setiap perhubungan itu.

"Dalam bidang psikologi kaunseling, komunikasi diberi fokus paling utama sebenarnya. Ia kerana dalam 10 perhubungan yang gagal, mungkin sembilan dari sebab kegagalan itu boleh diletakkan pada proses komunikasi yang kurang cekap atau kurang berkesan.

KRISIS hubungan dengan pasangan tidak seharusnya berlaku kekerasan.
KRISIS hubungan dengan pasangan tidak seharusnya berlaku kekerasan.

"Adakah ini bererti pasangan suami isteri atau mereka yang sedang dalam perhubungan romantis perlu bersembang 24 jam sehari atau duduk menatap wajah masing-masing dari Subuh ke tengah malam? Sudah tentu tidak!," katanya.

Jelasnya, komunikasi juga ada cabang-cabangnya.

Disarankan anda membaca buku 'Men Are from Mars, Women Are from Venus' oleh Dr John Gray dan juga buku 'He Says, She Says' tulisan Dr Lillian Glass sebagai permulaan untuk mula memahami proses komunikasi dalam perhubungan romantis.

Dr Airil menambah, corak berfikir dan cara bertindak kaum hawa dan kaum adam tidaklah sama. Sebagai contoh, wanita cekap berfikir secara mikro atau amat teliti.

"Untuk lelaki pula, cara berfikir mereka menjurus kepada skop makro atau memahami sesuatu dari sudut pandang yang meluas.

PENCERAIAN perkahwinan boleh berlaku kerana masalah komunikasi.
PENCERAIAN perkahwinan boleh berlaku kerana masalah komunikasi.

"Dilema, konflik dan masalah kerap kali berlaku apabila pasangan salah faham atau menyalah ertikan maksud yang ingin disampaikan antara satu sama lain," katanya.

Katanya, sebagai contoh, wanita cenderung berkomunikasi secara berkias. Manakala lelaki pula lebih suka berhubung secara harfiah atau literal.

"Ambil contoh ini, si isteri sudah masuk kamar untuk tidur dan berehat. Si suami pula masih di depan televisyen dan menonton berita tengah malam.

"Si isteri tiba-tiba melaung dari dalam kamar memberitahu kepada si suami bahawa dia berasa dingin kerana kipas berpusing.

"Sedar-sedar pintu kamar tidur sudah dikunci rapat dan si suami disuruh tidur sahaja di depan televisyen! Kenapakah hal ini terjadi?

BERTOLAK ansur penting dalam mengukuhkan keharmonian perkahwinan.
BERTOLAK ansur penting dalam mengukuhkan keharmonian perkahwinan.

"Tidak lain tidak bukan kerana salah erti dalam komunikasi. Isteri tadi sebenarnya meminta suaminya menemaninya, kemudian apabila dia sudah lelap, suaminya boleh sahaja terus menonton televisyen," katanya.

Katanya, mungkin kita boleh kata bahawa ini semua asam garam hidup bersama-sama. Namun, usaha perlu dilakukan untuk meningkatkan tahap komunikasi antara suami-isteri. Suami harus menjadi lebih sensitif, isteri pula harus menjadi lebih literal dan tidak perlu terlalu berkias-kias.

"Contoh di atas mungkin lucu tetapi ia boleh menyakitkan hati juga. Hati si isteri sakit kerana suaminya tidak mahu menemaninya, hati si suami sakit kerana isterinya tidak boleh memberinya masa untuk bertenang sambil menonton televisyen.

"Kalau hal seperti ini berterusan, sedikit demi sedikit rasa kasih dan sayang yang dikongsi akan menjadi sakit hati serta benci. Masing-masing akan berasa pasangannya tidak mahu memahami dirinya atau tidak melayan kehendaknya," katanya.

Tambahnya, cakap yang lemah-lembut mungkin bertukar menjadi kasar dan akhirnya pertengkaran yang akan berlaku.

TEKANAN boleh berlaku terhadap pasangan jika saling tidak memahami.
TEKANAN boleh berlaku terhadap pasangan jika saling tidak memahami.

Jelasnya, tidak mudah sebenarnya untuk hidup bersama dengan orang lain. Pada satu saat, pasti akan berlaku pergeseran kerana salah faham walaupun pasangan suami isteri itu adalah yang paling romantis antara semua pasangan.

"Ada tabiat suami yang isteri tidak senangi, gigitlah lidah sekali-sekala. Bukan semuanya harus ditegur dan dijadikan permasalahan.

"Ada perangai isteri yang suami kurang suka, bukalah hati. Pasti ada banyak sifat dan nilai dalam diri isteri yang perlu diraikan serta disayangi," katanya.

Tambahnya, kita jangan terlalu mudah putus asa apabila kita berkomunikasi, duduk dan berbincang, jangan berhenti berkongsi cerita.

"Ketahuilah bahawa suami kita itu adalah kawan kita yang paling akrab dan isteri kita itu adalah sahabat kita yang paling setia.

TIDAK semua perkara perlu berkias, sebaliknya perlu dizahirkan untuk elak salah faham.
TIDAK semua perkara perlu berkias, sebaliknya perlu dizahirkan untuk elak salah faham.

"Sedar tidak sedar, hari bertukar minggu menjadi bulan, tahun menjadi dekad. Biarlah komunikasi itu luput dengan nafas terakhir kita, bukan kerana lafaz peceraian," katanya.

Katanya, pasti terdapat banyak kebaikan dalam diri pasangan kita yang melangkaui semua kelemahannya.

"Bukankah itu juga sebab anda dan dia berjanji dan setia untuk berkahwin serta hidup bersama-sama?," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:20 AM