SAAT bertemu keluarga di kampung adalah momen paling indah. - Gambar hiasan
SAAT bertemu keluarga di kampung adalah momen paling indah. - Gambar hiasan
Hafiz Ithnin

"TAHUN ini balik rumah mak saya ya raya pertama? Yalah sudah dua tahun kita tak balik raya sebab PKP," maklum si isteri kepada si suami.

"Mana boleh! Kena balik kampung saya tahun ini, sebab bukan ke kalau ikutkan giliran kampung saya tahun ini!," balas si suami. Akhirnya tiada kata sepakat dimeterai.

Jika keputusan dimeterai atas kuasa veto salah satu pasangan, maka pasangan anda mungkin terasa hati apabila jawapan itu tidak berpihak kepadanya.

Maka situasi itu mungkin menjadi tegang kerana isu tidak mahu bertolak ansur untuk beraya ke rumah mana dahulu pada tahun ini.

Isu balik kampung siapa dahulu untuk raya pertama mungkin berlaku dalam kalangan pasangan suami isteri. Walaupun mungkin ada yang melihat ia sesuatu yang remeh, jangan tidak tahu mungkin juga boleh menjadi krisis dalam hubungan rumah tangga.

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, kompromi dan kesepakatan seharusnya menjadi tonggak kebahagiaan keluarga pada setiap masa dan dalam semua keadaan, khasnya dalam menyambut Aidilfitri.

SESIAPA pun pasti teruja untuk pulang beraya. - Gambar hiasan
SESIAPA pun pasti teruja untuk pulang beraya. - Gambar hiasan

"Dalam sesebuah keluarga, kompromi dan tolak ansur antara isu paling kritikal. Tidak semua pasangan suami isteri berupaya untuk mencari jalan tengah atau mengambil giliran ketika membuat keputusan, misalnya untuk pulang ke kampung halaman dan merayakan Aidilfitri.

"Organisasi kaunseling terbesar di United Kingdom, RELATE menyatakan bahawa kompromi tidak semudah yang disangka. Walaupun ia boleh menjadi alat yang sangat berguna untuk menguruskan perselisihan faham, ia juga boleh menjadi sumber stres dan pertelingkahan," katanya.

Tambahnya, fakta ini disokong penyelidikan Dr Catherine Aponte dalam bukunya A Marriage of Equals. Menurutnya, suami atau isteri selalunya akan memilih untuk mengalah dan bukan berkompromi.

"Akhirnya pihak yang mengalah akan memendam rasa dan mungkin menyimpan dendam. Kompromi bukan hanya mencari jalan untuk membuat keputusan bersama-sama.

"Kompromi sebenarnya membawa kepada kesepakatan yang menghormati hati dan perasaan pasangan. Semangat kebersamaan juga perlu supaya kedua-dua pihak berasa mereka menerima keadilan," katanya.

Jelasnya, sebagai contoh kampung suami di Ipoh, kampung isteri di Kuantan.

"Tahun ini giliran siapa untuk 'berpagi' raya di kampung halaman? Perlukah si suami menggunakan kuasa vetonya? Atau haruskah si isteri menggunakan magis air mata rajuknya?

"Dalam suatu kompromi, sebenarnya kedua-dua pihak perlu bermula dengan mengalah terlebih dahulu. Aneh bukan? Tetapi, ini realitinya," katanya.

ELAKKAN memendam rasa kerana ia mendorong berlakunya stres atau kemurungan.
ELAKKAN memendam rasa kerana ia mendorong berlakunya stres atau kemurungan.

Dr Airil berkata, apabila sama-sama bersedia untuk mengalah maka pintu komunikasi akan terbuka luas.

"Apakah strategi yang boleh difikirkan bersama? Apakah pengorbanan yang boleh dibuat bersama? Mungkin berpuasa beberapa hari di Ipoh dan hari raya pertama di situ.

"Kemudian petangnya, bertolak ke Kuantan untuk hari raya kedua dan seterusnya bercuti beberapa hari lagi. Tahun depan, keluarga itu boleh ke Kuantan dahulu. Aidiladha tahun ini pun mungkin patut disambut di Kuantan, di kampung halaman isteri," tambahnya.

Katanya, pendekatan mengalah dari awal ini sebenarnya membawa begitu banyak kebaikan dalam sesebuah perhubungan.

"Logiknya mudah, dalam sesebuah keluarga semua ahlinya perlu bergerak bersama-sama. Jatuh dan bangun keluarga itu terletak pada kesatuan mereka.

"Apabila suami, isteri dan anak-anak boleh cepat mengalah dan bersatu hati, semua cabaran serta halangan dapat diatasi," katanya.

Katanya, perkara sering berlaku adalah semua pihak mahu menang. Si suami mahu menang. Si isteri mahu menang.

"Akhirnya, ada yang pulang ke kampung bersendirian hanya kerana ingin pulang beraya di rumah ibu bapa sendiri. Ini bukan jalan keamanan, tetapi bakal membawa peperangan nanti!

"Aidilfitri memang hari yang amat istimewa. Tetapi, keistimewaan itu datangnya dari masa dan ruang kita kongsi bersama-sama mereka yang tersayang. Tidak masuk akal kalau berlaku perang dingin hanya kerana isteri dan suami tidak mahu mengalah dalam urusan beraya," katanya.

SEMARAKKAN kasih sayang anda terhadap pasangan.
SEMARAKKAN kasih sayang anda terhadap pasangan.

Katanya, mengambil giliran adalah contoh solusi tolak ansur atau kompromi yang baik. Simpan niat di hati untuk mengambil giliran ke kampung sendiri pula, pada tahun berikutnya.

"Ketahui bahawa perkahwinan juga suatu kompromi antara dua pihak, suami dan isteri. Apabila anda berkahwin, anda mengambil kira apa yang anda mahukan dalam hidup manakala pasangan anda pula mengambil kira apa yang dia mahukan dalam hidupnya.

"Dalam melayari bahtera perkahwinan itu, anda dan dia perlu sama-sama berfikir cara terbaik untuk memastikan kehidupan bersama berjaya serta berfungsi, bukan gagal," katanya.

Tambahnya, dari hal yang paling kecil hingga masalah yang paling besar, semuanya pasti dapat ditangani bersama-sama asalkan ada tolak ansur serta kebersamaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2022 @ 7:00 AM