Pengerusi UMNO Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias menyampaikan sumbangan kepada cawangan UMNO Parlimen Jelebu pada Majlis Perasmian Persidangan Serentak Wanita,Pemuda dan Puteri Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu hari ini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Pengerusi UMNO Jelebu Datuk Seri Jalaluddin Alias menyampaikan sumbangan kepada cawangan UMNO Parlimen Jelebu pada Majlis Perasmian Persidangan Serentak Wanita,Pemuda dan Puteri Bahagian Jelebu di Kompleks UMNO Jelebu hari ini. FOTO ABNOR HAMIZAM ABD MANAP
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Kerajaan Negeri Sembilan dan Felda sedang meneliti kaedah sesuai dalam menyelesaikan isu pembelian projek Perumahan Generasi Kedua Felda (PGBF) Felda Pasoh Satu, terutama mereka yang tidak layak membuat pinjaman dengan institusi kewangan.

Exco Kanan Kerajaan Negeri Sembilan Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, kerajaan negeri memahami kesulitan dialami mereka yang sebelum ini sudah membayar projek PGBF menerusi perjanjian sewa beli sejak 2018.

Katanya , kerajaan negeri dan Felda akan mengadakan perbincangan supaya mereka diberi kemudahan dan kelayakan pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

"Ada kalangan pembeli yang terikat dengan perjanjian sewa beli itu mempunyai rekod pembayaran kepada Felda yang baik, namun tidak layak membuat pinjaman dengan institusi kewangan atas pelbagai faktor antaranya had umur.

"Kita akan usahakan supaya mereka boleh membuat pinjaman itu bagi membolehkan mereka memiliki kediaman itu," katanya ditemui selepas majlis Perasmian Serentak Persidangan Umno Cawangan, Wanita, Pemuda dan Puteri Bahagian Jelebu di Kompleks Umno Jelebu di sini, semalam.

Media sebelum ini melaporkan pembeli PGBF Felda Pasoh Satu yang membeli rumah berkenaan melalui perjanjian sewa beli pada 2018, perlu membuat pinjaman kewangan daripada institusi kewangan selepas lima tahun.

Masalah timbul apabila Felda gagal menuntut bayaran bulanan daripada pembeli yang culas melaksanakan tanggungjawab membayar komitmen bulanan ditetapkan.

Bayaran sewa bulanan yang sudah dibuat sepanjang tempoh lima tahun akan turut ditolak daripada pinjaman itu, dan pinjaman berdasarkan baki harga rumah berkenaan sahaja dan bukannya pinjaman harga asal rumah.

Sebanyak 144 rumah dibina di Felda berkenaan dengan rumah PGBF itu dijual dari RM90,000, berbanding harga asal RM160,000.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 8:57 AM