ANTARA pelanggan yang menghisap shisha di restoran Timur Tengah di Bukit Bintang. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
ANTARA pelanggan yang menghisap shisha di restoran Timur Tengah di Bukit Bintang. FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Meskipun menyedari penjualan shisa dan aktiviti menghisap shisha di premis makanan adalah dilarang, namun masih ada beberapa restoran di sekitar Bukit Bintang di sini, masih menjalankan kegiatan itu.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Bukit Bintang, malam tadi, mendapati terdapat beberapa restoran Timur Tengah menjual shisha secara terbuka.

Ada beberapa pelanggan di restoran berkenaan dilihat menghisap shisha di luar premis terbabit secara terbuka.

Restoran terbabit juga dilihat mempamerkan shisha secara terbuka untuk menarik pelanggan berkunjung ke kedai makan mereka.

Selain itu, ada juga restoran dilihat menjalankan kegiatan itu secara tertutup dengan hanya membenarkan pelanggan menghisap shisha di dalam premis.

Seorang pengunjung yang hanya mahu dikenali sebagai Danish, 20-an, berkata, pengusaha restoran Timur Tengah di Bukit Bintang mengenakan harga mahal bagi setiap shisha yang dijual.

"Selalunya tempat lain (restoran Timur Tengah) seperti di Cyberjaya, harga ditawarkan bagi setiap shisha adalah antara RM13 hingga RM20.

"Tetapi di sini (Bukit Bintang), harga shisha dijual mencecah sehingga RM45 setiap satu. Mungkin mereka jual mahal sebab Bukit Bintang kawasan tumpuan orang ramai," katanya.

Danish yang juga kakitangan swasta berkata, dia memilih untuk menghisap shisha di Bukit Bintang kerana ia menjadi lokasi pertemuan bersama rakan-rakan.

"Ini (restoran Timur Tengah) selalu jadi port (tempat) lepak saya dengan rakan sebab mereka ada menjual shisha.

"Saya tahu tidak boleh hisap shisha di premis makanan tetapi sebab ia ada dijual, saya terpengaruh untuk membeli (menghisap shisha) terutama ketika lepak bersama rakan," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan sikap degil dan keras kepala pengusaha restoran Timur Tengah di Cyberjaya yang masih menawarkan aktiviti menghisap shisha secara terbuka, meskipun pernah dikompaun oleh Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang).

Pada Mac lalu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Norhayati Rusli memaklumkan terdapat enam restoran Timur Tengah yang didapati menyediakan perkhidmatan shisha di Cyberjaya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 9:53 AM