Hafiz Ithnin

'ABANG pilih yang mana? Perawan atau janda?' Begitulah antara bait lagu milik penyanyi seberang Cita Citata yang pernah menjadi siulan.

Bagaimana agaknya dalam realiti kalau diterbalik statusnya kepada teruna atau duda? Atau dalam kata lain lelaki bujang atau duda?

Sebenarnya tatkala menulis artikel ini, agak sukar untuk mencari pembuka untuk mengupas isu memilih jodoh, bujang atau duda? Ideanya tercetus apabila penulis berborak kosong dengan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perak dan Ahli Daftar Kaunselor Profesional United Kingdom, Dr Airil Haimi Mohd Adnan mengenai persoalan status lelaki mana yang lebih 'laku keras' di pasaran pada mata wanita?

Akhirnya Dr Airil melihat ia sesuatu topik yang menarik untuk dibincangkan dengan serius kerana pengalamannya mengendalikan kes-kes kaunseling terdapat segelintir wanita yang menganggap lelaki duda lebih romantik!

Namun ia bukan hipotesis yang mencerminkan keseluruhan jiwa manusia yang bergelar wanita kerana setiap diri manusia mempunyai perasaan dan minat berbeza dalam memilih jodoh.

Dr Airil berkata, dalam situasi memilih status lelaki bujang atau duda dalam jodoh terdapat beberapa perkara yang perlu dinilai dan bukan membuat jangkaan tidak realistik bersandarkan kepada status sahaja kerana teras dalam institusi membina keluarga adalah kebahagiaan.

BIJAK mengatasi konflik di dalam rumah tangga membantu mematangkan hubungan suami isteri.
BIJAK mengatasi konflik di dalam rumah tangga membantu mematangkan hubungan suami isteri.

"Dalam hubungan rumah tangga semua orang inginkan kebahagiaan. Bagaimanapun dengan pengaruh media sosial, media massa dan melihat hidup orang lain, hari ini ada wanita yang tersalah tanggapan mengenai lelaki paling ideal untuknya.

"Adakah lelaki yang seiras wajah penyanyi Korea, acah romantik dan rajin mengemas kini status di media sosial mengenai teman wanitanya, kaya-raya yang punya segala-galanya, paling ideal menjadi pasangan hidup?

"Jadi selepas tembok jangkaan tidak realistik ini ditembusi, barulah kita boleh memikirkan mengenai calon suami yang ideal, logik lagi realistik," katanya.

Jelasnya, jika difikirkan secara logik, calon suami yang paling ideal sudah tentu lelaki bujang.

"Dengan anggaran pasangan selalu membina pernikahan sekitar usia lewat 20-an atau awal 30-an, pertamanya lelaki bujang tidak akan jauh usianya dengan bakal isteri.

"Usia yang muda juga pasti ada kesan positif jika kita lihat dari sudut fizikal. Tenaga untuk bekerja, untuk beriadah dan untuk meluangkan masa dengan isteri akan membawa kepada tahap kebersamaan yang amat tinggi. Seperti belangkas, ke mana-mana sahaja pasangan ini akan bersama!," katanya.

Tambahnya, lelaki bujang juga tidak ada sejarah hidup yang kompleks atau dipanggil 'emotional baggage' dalam istilah psikologi kaunseling. Perkara yang ada hanyalah masa depan dicorakkan bersama si isteri," katanya.

Mengulas mengenai status duda, katanya, suami menjadi duda dalam dua keadaan, sama ada bercerai hidup dengan bekas isteri atau bercerai mati.

"Dalam konteks ini, lelaki yang berstatus duda sudah pasti sedikit lebih berusia daripada lelaki bujang.

KEBAHAGIAAN menjadi perkara penting dalam perkahwinan.
KEBAHAGIAAN menjadi perkara penting dalam perkahwinan.

"Adakah faktor usia yang lebih lanjut ini menjadi isu negatif dalam memilih jodoh? Tidak semestinya kerana dengan usia yang bertambah, kematangan psikologi juga akan bertambah bersama ciri-ciri positif lain dalam diri seperti bertimbang rasa, bersederhana dalam tindakan, tidak cepat melenting dan teramat kasihan kepada pasangan.

Kematangan minda meningkat sejajar dengan masa dan pengalaman hidup yang dikumpulkan," katanya.

Pakar itu berkata, lelaki duda juga sepatutnya lebih matang selok-belok kehidupan suami-isteri.

"Dia lebih mudah beralah daripada lelaki yang lebih muda, lebih rajin membantu isteri baharunya, lebih tinggi tahap sensitiviti terhadap segala keperluan isteri. "Mungkin kita boleh katakan, ini golongan lelaki ideal untuk dibuat jodoh," katanya.

Dr Airil berkata, bagaimanapun keadaan menjadi agak rumit jika lelaki duda itu sudah mempunyai anak kerana isteri baharunya perlu menjalinkan hubungan kekeluargaan bukan sahaja dengannya tetapi juga dengan anaknya. Calon isteri perlu bersedia secara mental dan spiritual untuk menghadapi realiti ini. "Keutamaan seorang bapa sudah tentu kepada anaknya kerana hubungan bapa dan anak tidak terputus sampai ke mati.

"Seorang bapa tunggal juga sudah tentu ada hubungan rapat dengan orang tuanya sebagai sistem sokongan. Agak mencabar kelak untuk bakal isterinya menjadi sebahagian daripada ekosistem kekeluargaan yang kompleks itu," katanya.

MEMBUAT andaian di luar jangka di alam perkahwinan boleh menyebabkan kekecewaan diri.
MEMBUAT andaian di luar jangka di alam perkahwinan boleh menyebabkan kekecewaan diri.

Katanya, dalam memilih bakal suami golongan wanita perlu bijak memilih si adam yang mempunyai identiti neomaskulin yang bukan sahaja segak sinonim status maskulin tetapi merangkumi ciri lelaki yang hebat untuk dijadikan pengemudi keluarga kelak.

"Antara ciri- ciri lelaki neomaskulin ialah berfikiran global iaitu mereka mampu menerima pandangan orang lain yang ikhlas dan mendengar kritikan.

"Bijak menilai situasi dan hati budi orang lain dan selalu menilai kemampuan dan kelemahan diri.

"Bersifat pemurah dan dapat mengimbangi di antara memberi dan menerima (sambil memberatkan memberi)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 7:00 AM