KEDUA-dua pihak perlu bertolak ansur.
KEDUA-dua pihak perlu bertolak ansur.
Hafiz Ithnin


KEHIDUPAN selepas berumah tangga, pastinya setiap pasangan inginkan privasi tersendiri kerana ia lebih membantu memudahkan tanggungjawab dilaksanakan antara satu sama.

Tidak dinafikan ada juga pasangan yang masih perlu tinggal bersama keluarga kerana mungkin masalah ekonomi atau tanggungjawab sebagai anak kepada ibu bapa yang mengalami masalah kesihatan.

Bagi sesesorang yang tinggal bersama keluarga sendiri bukan sesuatu yang sukar kerana sudah terbiasa dengan situasi itu.

Namun, ada juga pasangan yang mungkin rasa tidak selesa tinggal bersama keluarga mentua yang mungkin mempunyai alasan tersendiri.

Bagi mereka yang mempunyai hubungan baik dengan keluarga mentua, tidak menjadi masalah. Bagaimanapun, apabila sudah tinggal sebumbung, mungkin juga krisis bersama mentua atau adik-beradik ipar duai untuk dikawal.

Ahli Daftar Kaunseling Profesional United Kingdom dan Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Airil Haimi Mohd Adnan berkata, dalam masyarakat Asia amnya dan di Malaysia khususnya, kisah menantu perempuan yang tinggal sebumbung dengan ibu mentua sudah pasti mencapai tahap epik yang hebat.

Jelasnya, hikayat dan legenda menantu perempuan duduk serumah dengan ibu mentua sering kita dengar sampai ada yang mengatakan bahawa situasi seperti ini perlu dielakkan sebaik bermulanya perkahwinan.

"Secara logiknya, apabila seorang lelaki berkahwin dengan seorang wanita, mereka ingin membina rumah tangga di rumah sendiri. Itu lumrah perkahwinan.

"Tetapi, tidak logik pula jika sesudah membina rumah tangga, isteri dan suami itu perlu melarikan diri daripada ibu dan bapa mentua masing-masing sepantas kilat!," katanya,

Katanya, kaunseling perhubungan boleh dipilih menjadi 'sub-kepakaran' seorang pakar kaunseling yang berdaftar kerana begitu seriusnya dilema, konflik dan masalah dalam perhubungan antara manusia.

"Data daripada Institut Kaunseling Profesional di United Kingdom juga mengesahkan bahawa hubungan antara manusia kekal menjadi salah satu isu yang membawa masalah mental teruk jika tidak ditangani dengan cepat dan cekap.

"Jika diperhalusi, jelas bahawa isu hubungan kekeluargaan sering membawa kesan yang negatif kepada kesihatan mental individu. Seperti kata pepatah, rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain," katanya.

Dr Airil Haimi berkata, mungkin sebab itu juga ramai antara kita yang mengalami pergeseran dalam keluarga sendiri.

"Persoalannya, adakah seorang menantu perempuan yang tinggal sebumbung dengan ibu mentuanya bakal bergeser, bertekak dan bergaduh antara satu sama lain?" katanya.

Tambahnya, ada kalanya kerana kekangan wang atau tuntutan kerja, isteri dan suami itu perlu tinggal untuk sekian waktu di bawah bumbung mentua.

"Ini adalah lumrah hidup moden terutama bagi pasangan muda. Mentua itu emak dan ayah kita juga, bukan? Maka, kenapa tidak boleh kalau tinggal sementara dengan mereka?" soalnya.

Dr Airil Haimi berkata, rumah adalah daerah kekuasaan wanita. Maka, rumah ibu mentua adalah daerah kekuasaan beliau dan menantu perempuan yang tinggal di situ tertakluk di bawah kekuasaan ibu mentuanya.

Jelasnya, tetapi ia tidak pula bererti hidup sebumbung itu akan membawa pergeseran dan pergaduhan antara mereka.

KRISIS menantu dan mentua boleh menyebabkan krisis suami dan isteri.
KRISIS menantu dan mentua boleh menyebabkan krisis suami dan isteri.

"Saya petik sentimen 'logik' sekali lagi di sini. Logikkah kalau seorang menantu perempuan menyimpan persepsi bahawa ibu mentuanya seorang yang teruk dan bakal menyusahkan hidupnya?

"Selain logikkah kalau ibu mentua itu pula menanam perasaan bahawa menantu perempuannya seorang yang jelik dan tidak berguna walau sesen pun?" soalnya.

Katanya, suami perlu aktif memainkan peranan memupuk dan menyemai rasa kasih sayang antara isterinya dan ibu kandungnya, terutama apabila duduk sebumbung.

"Jangan hanya aktif untuk menjadi pendamai apabila pergeseran dan pertengkaran berlaku kerana saat itu nasi mungkin sudah menjadi bubur.

"Bersangka baik antara menantu dan mentua perlu menjadi kunci hidup berkeluarga. Corak pemikiran wanita cenderung melihat hal-hal mikro yang kemudian cuba diperbaiki," katanya.

Katanya, namun jangan sampai mentua dan menantu bertanding mencari salah antara satu sama lain kerana ia adalah cara bermusuh, bukan cara berkeluarga.

"Maaf kalau saya katakan tanggapan bahawa ibu mentua dan menantu perempuan pantang tinggal sebumbung itu pandangan serong dari barat.

"Bukankah apabila bernikah dengan seseorang kita sebenarnya berkahwin dengan keluarganya, khasnya emak dan ayahnya jika mereka masih hidup?" katanya.

Tambahnya, bagaimanapun apabila masanya sesuai dan wang sudah cukup tidak pula menjadi salah jika suami serta isteri berhijrah ke rumah baharu bersama-sama, walaupun hanya rumah sewa.

"Memulakan hidup berdua adalah sebahagian proses membina keluarga bahagia. Tetapi, ia tidak bermaksud isteri dan suami tidak boleh sama sekali tinggal di rumah mentua.

"Dalam kita membincangkan isu menantu perempuan dan ibu mentuanya, jangan kita lupa bahawa manusia inginkan ketenangan serta kebahagiaan. Tidak logik kalau ada manusia yang hidupnya ingin runsing dan bersedih setiap masa," katanya.

Jelasnya, simpan logik itu di dalam minda, jika anda seorang isteri yang perlu tinggal di rumah ibu mentua. Jadikan logik ini permulaan usaha positif untuk menjadi anak menantu terbaik kepada ibu mentua anda.

"Untuk ibu mentua pula, penghormatan yang diberi Tuhan sebagai ibu amat besar ertinya. Kasih dan sayang kepada menantu perempuan anda menjadi bukti jika anda sebenarnya layak diberi penghormatan tertinggi itu.

"Permainan persepsi negatif ini perlu dibuang dari dalam kotak minda kedua-dua pihak. Memang benar, ada manusia yang baik dan ada yang jahat. Tetapi, tidak semua ibu mentua itu nenek sihir atau semua menantu perempuan itu makhluk pemalas," katanya.

Dr Airil Haimi menambah, bersangka baik sesama menantu dan mentua perlu diberi keutamaan sambil ringan tangan membantu satu sama lain di dalam rumah yang sama.

"Penghormatan tetap diberi kepada ibu mentua kerana usianya dan sebab itu rumahnya. Jalinan kasih dan sayang perlu dipupuk bersama-sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 September 2021 @ 7:00 AM