FADHIL bersama fotonya.
FADHIL bersama fotonya.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Cetakan foto masih lagi relevan kerana selain ia kekal, kualiti gambarnya pula lebih baik dan jelas berbanding paparan dalam bentuk digital di media sosial.

Itu penjelasan tiga jurufoto berpengalaman luas dalam bidang seni fotografi iaitu Afendi Md Shas, Fadhil Kamarudin dan Shahril Nawawi yang menyertai Pameran Fotografi bertemakan Foto Cetak.

Pameran itu diadakan di Creative Space 1, Lobi Bangunan Pentadbiran Balai Seni Negara (BSN), Kuala Lumpur, mempamerkan 10 karya tiga jurugambar terbabit, baru-baru ini.

Ia diadakan bertujuan mengetengahkan bakat seni fotografi yang mempunyai pelbagai bidang fotografi seperti seni, komersial dan jurnal daripada latar belakang bidang berbeza.

Penolong Kurator BSN, Mohd Yuzaini Ahmad berkata, seni fotografi semakin mendapat perhatian sejak peralihan daripada fotografi konvensional ke digital.

Beliau berkata, peralihan itu menyebabkan banyak perubahan lebih baik berlaku terhadap perkembangan fotografi di negara ini.

“Antara bidang yang semakin mendapat perhatian adalah fotografi komersial dan seni fotografi itu sendiri.

“Dalam pada itu, masih ramai lagi mengamalkan kaedah fotografi konvensional dalam penghasilan karya mereka (jurugambar),” katanya kepada Nuansa.

Katanya, perubahan teknologi menyebabkan ramai pengamal fotografi tidak mencetak foto dan hanya memaparkan hasil fotografi di Facebook dan Instagram.

Oleh yang demikian, pameran itu mendedahkan beberapa teknik percetakan menggunakan beberapa teknik dan medium melalui pelbagai cara atau genre fotografi.

“Antara medium digunakan adalah cetakan foto digital atas kertas foto, cetakan atas papan akrilik, cetakan tiga dimensi, cetakan atas kepingan metal, cetakan atas kertas lukisan, teknik lenticular dan beberapa teknik lain.

“Konsep pameran ini adalah gabungan pelbagai kaedah fotografi (hybrid) yang sedang diamalkan dan cara lama yang masih mendapat perhatian umum,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pengaruh seni digital terhadap seni fotografi juga sudah mencorak arena seni fotografi menjadi lebih kreatif dan unik.

Sementara itu Fadhil berkata, secanggih manapun teknologi gambar tetap perlu dicetak supaya kenangan berkenaan dapat dikekalkan.

Katanya, fotografi adalah satu bidang yang menarik kerana melatih pengamal fotografi menjadi kreatif bagi mendapatkan sudut gambar cantik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 September 2017 @ 11:02 AM