KEKUATAN sangat diperlukan dalam sukan gusti.
KEKUATAN sangat diperlukan dalam sukan gusti.
PESONA BENUA

KETANGKASAN wanita Bolivia yang dipanggil chola, cholita atau Las Cholitas de Bolivia memang mengagumkan dan sentiasa menjadi perhatian ramai terutama pelancong.

Walaupun memakai pakaian tradisional - gaun kembang beropol dengan skirt dalam berlapis-lapis (dipanggil centro), selendang tenun sendiri yang berwarna-warni dan kasut kulit, mereka boleh melompat tinggi dan bergusti!

Imej konservatif yang dulunya dilihat pada wanita Bolivia mula terkikis kerana mereka kini semakin berani menonjolkan diri. Pada hari-hari biasa, wanita yang berpakaian begini menjual buah, sayur, pakaian dan barang rencam di tepi jalan namun pada Ahad, mereka bertukar menjadi ahli gusti yang agresif.

Sukan yang diinspirasikan oleh WWF Amerika (World Wrestling Federation) dan Lucha Libre Mexico ini sudah bertapak di Bolivia sejak 1950-an, tetapi hanya 15 tahun kebelakangan ini ia mula mendapat tempat di hati masyarakatnya.

Mengikut sejarah, wanita Bolivia atau cholita ini sering menjadi mangsa penderaan domestik dan bergusti menjadi cara mereka melepaskan perasaan serta tekanan. Ia juga kaedah untuk mereka mendapatkan perhatian dan rasa hormat daripada lelaki.

ANTARA aksi mendebarkan yang menarik perhatian.
ANTARA aksi mendebarkan yang menarik perhatian.

Oleh kerana kebanyakannya hidup miskin, bergusti juga menjadi saluran untuk mereka mendapatkan pendapatan tambahan apabila memenangi satu-satu pertandingan.

Kebanyakan cholita adalah daripada etnik Aymara yang sejak dulu ditindas dan sering dieksploitasi, dipaksa menjadi buruh dan memakai pakaian tertentu (skirt besar dan kembang) yang menunjukkan rendahnya kedudukan mereka. Namun pakaian itu kini menjadi lambang kebanggaan cholita.

Menurut Reyna Torrez, antara ahli gusti cholita terkenal yang menggunakan nama gelanggang Leydi Huanca, dia kini berusaha melatih barisan pelapis muda berusia 16 hingga 19 tahun, dengan harapan dapat mengekalkan keunikan sukan berkenaan yang menjadi budaya mereka.

“Wanita yang mahu masuk dalam sukan ini perlu mempunyai semangat kuat kerana dunia gusti menuntut banyak disiplin,” katanya.

Pelatih, Nieves Laura Tarqui, 17, yang menggunakan nama gelanggang Nelly Pankaria berkata, dia begitu mengagumi kebolehan Reyna dan bersyukur diberi peluang berlatih bersama.

Bagaimanapun, bukan mudah untuk menjadi ahli gusti wanita kerana mereka perlu berlatih selama sekurang-kurangnya setahun sebelum membuat kemunculan pertama di mana-mana gelanggang pertandingan.

Noelia Gonzales atau nama glamornya Natalia Pepita mengakui gusti adalah sukan yang susah dan sangat mencabar.

“Anda perlukan banyak keberanian, kekuatan dan latihan untuk menghasilkan pertarungan yang baik. Sepanjang bertarung kami akan jatuh dan mengalami kesakitan, tapi kami rela asalkan penonton terhibur,” katanya.

GAYA Las Cholitas de Bolivia.
GAYA Las Cholitas de Bolivia.

Seperti pertandingan gusti lain, cholita yang mengenakan gaun kembang beropol ini juga akan cuba menjatuhkan musuh, menindih badan mereka dan memanjat tiang gelanggang untuk ‘terbang’ menghempap lawan.

Kini, gusti cholita bukan sekadar sukan untuk melepaskan perasaan marah dan tertekan kerana menjadi mangsa penderaan domestik, sebaliknya ia sudah menjadi salah satu tarikan pelancongan.

Menariknya, cholita ini tidak hanya bertanding sesama wanita kerana mereka sentiasa bersedia untuk menunjukkan kebolehan menumpaskan lelaki!

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 5:00 AM