BLAUS bercorak dipadankan skirt polos untuk gaya kasual.
BLAUS bercorak dipadankan skirt polos untuk gaya kasual.
VERSATIL rekaan baju untuk Darin menggunakan fabrik kapas.
VERSATIL rekaan baju untuk Darin menggunakan fabrik kapas.
Siti Zarinah Sahib

Melihat sendiri busana yang dihasilkan Yuli Yani Md Sabri untuk anak perempuannya, Darin Mayesa, 4, yang dimuat naik menerusi laman Instagram, tidak sangka ia hasil jahitan sendiri.

Rekaannya terkini, versatil dan glamor sesuai usia kanak-kanak. Malah, konsep yang diketengahkan seakan-akan sama seperti helaian daripada jenama antarabangsa. Yuli Yani mengakui untuk rekaan dia banyak melayari Instagram dan Pinterest terutama rekaan negara luar.

“Saya suka konsep moden, tetapi ringkas. Saya selalu berpegang kepada pepatah yang mengatakan anak kecil harus berpakaian seperti kanak-kanak. Ia tidak perlu perhiasan sarat atau fabrik berat yang kurang selesa terutama dalam keadaan cuaca panas di Malaysia,” katanya.

 SEDONDON ibu dan anak.
SEDONDON ibu dan anak.

Sesuai dengan sifat si comel yang lasak dan sentiasa bergerak sudah pasti ia akan menyebabkan mereka cepat berpeluh. Bagi mengatasi masalah ini Yuli menggunakan fabrik kapas kerana menyerap peluh, lembut dan sejuk. In juga senang dijahit dan mudah diuruskan terutama aspek kebersihan dan cucian.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar ini, mempunyai kemahiran menjahit sememangnya dapat menjimatkan kos. Ramai yang mengakui pakaian kanak-kanak terutama gaun sangat mahal. Kadangkala busana biasa tanpa memperlihatkan elemen perincian hiasan seperti manik atau riben sudah mencecah RM50 ke atas. Untuk yang berjenama sudah pasti ratusan ringgit perlu dikeluarkan untuk mendapatkan sehelai pakaian.

BLAUS dan skirt beropol untuk Darin Mayesa mencuri tumpuan.
BLAUS dan skirt beropol untuk Darin Mayesa mencuri tumpuan.

“Namun tidak semua baju sedia dipakai ini menepati ukuran. Kadangkala apabila pulang ke rumah ia nampak kurang ‘enak’ apabila disarungkan di badan si kecil. Ada kala satu-satu pakaian sempat dipakai beberapa kali saja kerana saiz badan kanak-kanak cepat bertambah,” katanya.

Bagi mengatasi masalah ini menjahit baju untuk anak adalah penyelesaian terbaik kerana selain menjimatkan kos, ibu juga dapat menyediakan busana mengikut kreativiti mereka sendiri.

“Saya adalah seorang yang obses dengan perincian berkedut atau beropol. Kalau boleh setiap helaian yang dihasilkan mesti ada unsur ini. Tapi, saya akan pelbagaikan dari segi siluet,” katanya.

Jelas Yuli, tanya kepada mana-mana ibu, pasti mereka sangat teruja saat menerima kelahiran anak perempuan. Ini kerana busana yang tersedia sangat pelbagai dan lebih menarik.

Namun oleh kerana dia suri rumah sepenuh masa, keinginan memakaikan baju yang ‘berfesyen’ agak terbatas. Jadi bermula dari situ timbul minat untuk menjahit baju Darin Mayesa.

BLAUS dan skirt beropol untuk Darin Mayesa mencuri tumpuan.
BLAUS dan skirt beropol untuk Darin Mayesa mencuri tumpuan.

“Alhamdulillah, pengetahuan asas menjahit sudah ada kerana ibu juga sering menjahit pakaian seragam sekolah kami adik-beradik. Jadi saya dan saudara yang lain diajar menjahit butang dan silang pangkah untuk kaki baju,” katanya.

Kemahiran ini juga kemudian dilengkapkan ketika menuntut di Sekolah Menengah Vokasional Azizah Johor Bahru apabila Yuli mengambil kursus jahitan sebagai salah satu subjek.

Selebihnya dia tidak pernah menghadiri mana-mana kelas jahitan dan hanya mempelajari menerusi YouTube dan Facebook. Sekali sekala dia merujuk ibu saudara yang juga tukang jahit berpengalaman dan hebat.

Yuli hampir terlupa dia pernah belajar menjahit dan meninggalkan kemahiran ini hampir 14 tahun.

“Alhamdulillah, apa yang saya pelajari masih kekal di ingatan walaupun saya bukan pelajar terbaik dalam kelas jahitan,” katanya yang menghasilkan helaian pertama ketika Darin berusia dua tahun.

Oleh kerana bimbang baju rosak, Yuli mengambil baju suami dan mengubah menjadi gaun yang cantik. Selepas melihat hasilnya wanita ini semakin yakin menjahit baju sendiri dan anaknya.

GAYA ringkas menggunakan fabrik yang sama namun potongan berbeza.
GAYA ringkas menggunakan fabrik yang sama namun potongan berbeza.

Oleh kerana busana dihasilkan tampak menarik untuk si comel menyebabkan dia membuat label sendiri Loveds by Mostly Mayesa yang dikongsi bersama seorang sahabat baik.

Sebagai pengarah kreatif jenama ini, untuk sesuatu rekaan Yuli membuat contoh terlebih dulu supaya ukuran, perincian dan potongan kekal sama. Selepas berpuas hati baru dia memberikan kepada tukang jahit untuk disiapkan.

“Saya sangat cerewet dan teliti dari segi potongan dan kekemasan. Ia sama sebagaimana saya menjahit baju anak. Biar ringkas namun berkonsep dan mencuri tumpuan dengan perincian,” katanya.

Walaupun sibuk menguruskan perniagaan, Yuli masih menjahit baju untuk anaknya. Nasihat wanita ini, walaupun bukan untuk memulakan bisnes, menjahit baju sendiri dan keluarga bukan saja menjimatkan kos, tetapi membolehkan si comel merasai pakaian yang bergaya dan sukar dimiliki disebabkan harga yang mahal.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Oktober 2017 @ 12:37 PM