TAMAN ‘maze’ yang menarik untuk komuniti.
TAMAN ‘maze’ yang menarik untuk komuniti.
Hafiz Ithnin


Pemaju hartanah komuniti induk, Sunway Property baru-baru ini menyerahkan lebih 417 unit kediaman hartanah dalam segmen kondominium di bawah projeknya, Sunway GEOLake Residences dan 39 unit townhouse kepada pemiliknya.

Meskipun berdepan cabaran ketika pandemik, syarikat hartanah itu mampu menyiapkan projek berkenaan hampir sembilan bulan lebih awal daripada tempoh sasaran yang ditetapkan.

Dalam negara mengadaptasi norma baharu, Sunway Property turut bertanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan kesihatan komuniti.

Justeru, sebagai langkah untuk memastikan bakal pembeli dapat menikmati pengalaman pembelian hartanah dalam norma baharu ini, syarikat itu turut memberi pilihan kepada orang ramai menerusi platform digital, Zoom.

Pembeli rumah dan keluarga mereka berpeluang memilih unit hartanah yang dikehendaki menggunakan platform berkenaan yang dibantu pegawai khidmat pelanggan Sunway Property.

Pengarah urusannya, Sarena Cheah berkata, pihaknya mengalu-alukan komuniti baharu di dalam Sunway Geo iaitu projek pembangunan bersepadu Sunway City Kuala Lumpur.

Jelasnya, keseluruhan projek Sunway GEOLake Residences terdiri daripada 420 unit kondominium dan 44 unit townhouse.

"Townhouse terbabit mempunyai pemandangan tasik Sunway South Quay yang mana terdapat kemudahan kapal layar persendirian. Tambahan pula, ia juga mempunyai panorama hijau dan berkepadatan rendah.

"Komuniti yang menghuni dalam projek itu turut dapat menikmati taman hijau 'maze' yang mendapat sentuhan arkitek, Sek San. Ia juga sejajar dengan sasaran untuk syarikat menjadikan Sunway City Kuala Lumpur sebagai bandar rendah karbon," katanya.

Tambahnya, dalam pembangunan itu turut berhampiran dengan 20 kemudahan gaya resort antaranya taman permainan 'dragon walk', 'central park', kolam renang keluarga, jakuzi dan kebun urban untuk komuniti.

"Selain itu, keselamatan komuniti juga amat dititikberatkan kerana mereka dilindungi pasukan keselamatan persendirian Sunway," katanya.

Sunway Geo Avenue turut mempunyai kemudahan menghubungkan Stesen KTM Setia Jaya dan LRT USJ 7. Malah, laluan yang menghubungkannya juga memberi kemudahan kepada komuniti setempat untuk menuju pelbagai lokasi di Sunway City Kuala Lumpur.

Antaranya, Pusat Perubatan Sunway, Sekolah Antarabangsa Sunway, Universiti Sunway, pusat beli-belah Sunway dan Taman Tema Sunway Lagoon.

Pada masa depan, syarikat itu bakal membangunkan projek bersepadu bernilai RM1.5 bilion membabitkan 3.4 hektar yang terletak berhampiran Sunway South Quay Lake.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Mac 2022 @ 6:44 AM