Khairul Aming dan Ryan Bakery antara pempengaruh dengan kandungan positif.
Khairul Aming dan Ryan Bakery antara pempengaruh dengan kandungan positif.
Oleh Syafil Syazwan Jefri


Kewujudan pempengaruh media sosial bukanlah satu golongan asing buat kita yang hidup pada era ini. Perkembangan pesat pelbagai platform media sosial sejak awal tahun 2000-an apabila manusia menggunakan platform seperti Friendster dan MySpace, menjadi titik tolak kewujudan pempengaruh ini.

Kini, dengan munculnya pelbagai platform media sosial lain, lebih ramai individu yang memiliki pengaruh sekali gus, menggenggam status sebagai pempengaruh media sosial.

Impak kewujudan mereka memberikan banyak kesan kepada masyarakat, baik kesan positif mahupun negatif. Semua itu adalah kerana pengaruh yang mereka ada dan bagaimana penerimaan masyarakat atas kewujudan mereka.

Sebelum pergi lebih lanjut mengenai impak pengaruh golongan ini, ingin saya kongsikan beberapa situasi yang menarik perhatian saya berkaitan dengan pempengaruh media sosial akhir-akhir ini.

Melihat kepada beberapa minggu kebelakangan ini, saya terpanggil untuk menyelami dan meneliti situasi semasa berkaitan pempengaruh media sosial tanah air dan pengaruh mereka.

Paling menarik perhatian saya adalah, Khairul Aming (KA) yang cukup dikenali sebagai pempengaruh yang popular dengan kandungan digital berkaitan masakan dan makanan. Tidak hanya bergelar pempengaruh, KA juga menjadikan dirinya sebagai satu jenama yang sangat kukuh.

Beberapa minggu lalu (atau mungkin bulan), KA muncul di satu warung makanan dan dengan satu video pendek memaparkan dirinya sedang merasa juadah yang dijual dan sedikit ulasan ringkas, menu itu 'meletup' di media sosial.

Berduyun-duyun manusia beratur membeli juadah di warung itu. Secara tidak langsung, tindakan KA itu membawa rezeki buat peniaga lain.

Beberapa minggu lalu juga, kita dapat melihat bagaimana KA 'mempengaruhi' pengguna media sosial terutamanya, pencinta burger dari satu jenama francais antarabangsa. KA berjaya membawa alternatif kepada pelanggan setia jenama itu, untuk mencuba sendiri menghasilkan burger kegemaran mereka di rumah.

Dek kerana populariti serta pengaruhnya juga, produk keluarannya 'dicetak rompak' oleh individu lain yang turut menggunakan formula sama dalam beberapa aspek pemasarannya. Ini juga pada saya, sebahagian daripada impak pempengaruh itu sendiri.

Selaku pemerhati yang bekerja di dalam industri seni tanah air, keberadaan pempengaruh media sosial ini sebenarnya menjadi pesaing sihat buat golongan selebriti.

Rata-rata, kita boleh kategorikan juga golongan pempengaruh ini sebagai selebriti memandangkan populariti mereka, tidak kurang hebatnya berbanding artis.

Dari sisi lain, golongan selebriti juga kini sudah ramai yang beralih bidang daripada artis, kepada pempengaruh. Mungkin kerana habuannya lebih besar. Atau mungkin juga, tawaran kerja menjadi semakin terhad memandangkan setiap hari, akan muncul sahaja bakat baharu di dalam industri.

Itu kisah mengenai pempengaruh matang dengan kandungan bermanfaat.

Berbalik kepada pengaruh, timbul juga beberapa kekesalan dan kerisauan dalam hati saya tatkala menyeret jari di layar telefon pintar, sambil mata saya menatap tepat segala inti yang ada di media sosial.

Apabila semuanya berada di hujung jari, semua proses menjadi terlalu mudah sehingga lahirnya pelbagai pempengaruh baharu terutamanya, di platform seperti TikTok yang begitu terbuka. Munculnya ramai generasi pempengaruh tidak matang, umpama satu fasa 'menakutkan' buat masyarakat lebih-lebih lagi golongan ibu bapa.

Anak-anak kecil yang kini diberi mandat oleh ibu bapa untuk memiliki telefon pintar atau gajet yang mampu mengakses media sosial, terdedah dengan pelbagai bentuk kandungan baik dan buruk.

Hari ini, berapa ramai golongan remaja, bahkan di bawah umur dan bawah usia fikiran matang memuat naik pelbagai kandungan. Bukan semuanya negatif, namun yang negatif inilah patut dirisaukan kerana ia akan menjadi ikutan lebih-lebih lagi oleh anak-anak seusia mereka.

Pengaruh pempengaruh di media sosial hari ini, bukan lagi setahap pengaruh rakan sebaya seperti mana yang sering dijeritkan satu ketika dahulu. Impaknya lebih besar dan parah sekiranya ia melencong daripada laluan yang sepatutnya.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 January 2024 @ 6:30 AM