FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Agensi

Jakarta: Kerajaan Indonesia sudah menutup 11,333 laman web perjudian dalam satu tindakan keras pembanterasan judi dalam talian, baru-baru ini, iaitu dalam tempoh sepanjang minggu lalu sahaja.

Pada Khamis, kerajaan turut mengeluarkan amaran kepada platform media sosial dengan bertegas menyatakan bahawa platform yang berkenaan mesti mengalih keluar kandungan judi dalam talian jika ingin terus beroperasi di Indonesia.

Jakarta Globe melaporkan Menteri Komunikasi dan Informasi Budi Arie berkata, tindakan penutupan ribuan laman web perjudian itu adalah berdasarkan laporan daripada pasukan peronda siber dan maklumat awam.

"Kementerian Komunikasi dan Informasi hanya boleh menutup laman web perjudian yang beroperasi di Indonesia.

"Jika ia dilampirkan kepada pautan laman web yang berbeza, kami akan menyekat akses awam kepada laman web induk.

"Apabila kandungan perjudian dikesan pada platform media sosial, kami akan meminta platform itu untuk mengeluarkan kandungan berkenaan," kata Budi semasa sidang akhbar di Jakarta.

Sejak 2018, kerajaan sudah menghapuskan lebih daripada 846,000 laman web dan aplikasi perjudian yang beroperasi di negara republik ini.

Perjudian dalam talian dilarang sama sekali di Indonesia di bawah undang-undang 2008 mengenai maklumat dan transaksi elektronik.

Budi berkata, platform media sosial yang enggan mengalih keluar kandungan perjudian adalah tertakluk kepada sekatan mengikut peraturan sedia ada.

Ketua Pengarah Informasi kementerian, Samuel Abrijani Pangarepan berkata, tindakan keras dikenakan terhadap sebarang pembabitan aktiviti perjudian dalam talian.

.

"Ada juga beberapa pempengaruh yang mengheret pengaruh awam dalam mempromosikan perjudian itu sudah didakwa polis.

"Apa pun langkah ini memerlukan penyertaan orang ramai kerana kami berhadapan dengan ruang digital yang besar," kata Samuel.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Julai 2023 @ 11:36 AM