DARI kiri, Hermansyah, Dr Ammar, Ahieb, Abd Rahman dan Kissaets ketika malam gala Anugerah ASIA 2023.
DARI kiri, Hermansyah, Dr Ammar, Ahieb, Abd Rahman dan Kissaets ketika malam gala Anugerah ASIA 2023.
Najiy Jefri


KETUA Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia), Datuk Dr Ammar Abd Ghapar menyambut baik usaha diperkenalkan Aston Creative bagi memberi penghargaan kepada penghasilan kandungan kreatif terbaik dalam kalangan pempengaruh media sosial menerusi penganjuran All Asia Influencers Award 2023 (ASIA 2023) yang diadakan baru-baru ini.

Ammar berkata, kehadiran pempengaruh media sosial dari Malaysia, Vietnam, Indonesia, Thailand, Taiwan dan Filipina dalam sebuah acara di sini dilihat mampu memberi impak positif kepada pelancong luar untuk melancong ke Malaysia.

"ASIA 2023 menjadi platform terbaik memasarkan Malaysia sebagai destinasi terunggul di rantau ini. Di sini saya ingin rakamkan ucapan tahniah kepada Aston Creative kerana tampil dengan idea hebat, sekali gus memperkenalkan lokasi dan produk yang kita miliki.

"Melihat penganjuran di ASIA 2023, saya berbangga sekali kerana penganjur berjaya mencapai lebih 130 juta tontonan menerusi tanda pagar #AllStarInfluencersAward2023 dalam tempoh kurang seminggu sejak program itu berlangsung.

"Bayangkan daripada jumlah itu kita ambil 10 peratus pengguna media sosial datang melancong ke Malaysia, ia sudah mencapai target kami di Tourism Malaysia yang menyasarkan 16.1 juta pelancong (antarabangsa) tahun ini.

"Bagaimanapun, perkara itu tidak semudah dibayangkan, tetapi saya percaya menerusi jumlah itu ia berjaya mencapai sasaran untuk beri kesedaran kepada pelancong luar mengenai pengalaman bakal mereka nikmati apabila melancong ke sini," katanya.

Menurut Ammar, menariknya lagi mengenai penganjuran program itu adalah pendekatan setiap pempengaruh media sosial menggunakan bahasa masing-masing dalam berkongsi keindahan di negara ini.

"Apa yang saya nampak melalui program ini setiap pempengaruh menggunakan bahasa masing-masing dalam menceritakan segala aktiviti dan program dilakukan di Malaysia.

"Dalam masa sama, penganjur berjaya menyebarkan keindahan bumi Malaysia kepada lebih ramai penduduk di rantau Asia apabila mereka membawa beberapa wakil pempengaruh dari luar negara.

"Tidak dapat dinafikan media baharu mentransformasikan kehidupan kita. Jadi dunia digital menjadi semakin kuat hari ini, sekali gus kita patut ambil peluang ini menarik lebih ramai pelancong terutama golongan muda.

"Namun media konvensional tetap menjadi keutamaan dalam beberapa hal kerana tidak semua perkara sesuai di platform digital semata-mata kerana kami ada khalayak sasaran yang kami ingin capai," katanya.

Terdahulu, pempengaruh media sosial dari Indonesia, Ahieb Reborn memenangi anugerah utama kategori Pempengaruh Media Sosial Terbaik di ASIA 2023 yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemenangan ini membolehkan Ahieb membawa pulang hadiah utama RM47,300 dan trofi.

Kategori Pencipta Kandungan Terbaik pula dimenangi pempengaruh dari Filipina, Kissa Eats yang berjaya membawa pulang hadiah RM23,600 dan trofi.

Bagi kategori Suntingan Terbaik dimenangi Hermansyah dari Indonesia yang berjaya memenangi hadiah wang tunai RM14,200 beserta trofi.

Penyampai Cerita Terbaik pula dimenangi Tikaolaa (Indonesia) dan trofi Pilihan Orang Ramai dibawa pulang oleh Syellaisk (Indonesia).

ASIA 2023 anjuran Aston Creative yang diperkenalkan Pengarah, Datuk Abd Rahman adalah satu acara khas mengumpulkan pempengaruh media sosial terkenal dari seluruh Asia termasuk Malaysia dengan matlamat utama mempromosikan Malaysia menerusi penghasilan kandungan kreatif.

Sebanyak 13 anugerah disampaikan malam tadi menerusi kategori penghasilan kandungan kreatif terbaik sempena dengan empat hari berlangsung acara berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2023 @ 6:20 AM