FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Najiy Jefri

Hari ini, media sosial sudah menjadi satu medium utama yang sering digunakan masyarakat.

Justeru, platform yang popular pada masa kini seperti Facebook, Twitter, TikTok, dan Instagram digunakan untuk berkongsi berita terkini, mengutarakan pendapat serta mencipta kandungan menarik untuk tetapan pengikut.

Ini ditambah pula dengan teknologi moden dan penggunaan telefon pintar yang canggih memudahkan masyarakat untuk memperoleh, menyunting dan berkongsi maklumat dalam masa yang singkat dan pantas.

Bagaimanapun tanpa disedari penggunaan media sosial mampu memberi impak buruk kepada seseorang individu sekiranya gagal menguruskan platform yang dimiliki dengan baik.

Isu ini terpaksa dibangkitkan kerana terdapat individu dalam kalangan selebriti dan pempengaruh yang dilihat tidak bijak menguruskan platform media sosial mereka sehingga kemudian menuding jari kepada pihak lain apabila kandungan yang dimuat naik dikecam orang ramai.

Kadangkala penulis tertanya-tanya mengapa hal ini boleh terjadi, sedangkan pengguna media sosial adalah dalam kalangan yang waras dan tahu risiko yang bakal berlaku jika perkongsian itu dimuat naik di media sosial.

Namun apa yang menghairankan, kebanyakan individu yang gemar memuat naik kandungan 'mengundang' ini gemar menyalahkan orang lain, lebih-lebih lagi jika perkongsian 'panas' yang dikongsikan mendapat liputan media.

Sepatutnya individu yang memiliki pengaruh yang ramai ini sudah tahu apa risiko dan impak yang bakal terjadi kepada setiap kandungan yang ingin dimuat naik. Janganlah sudah cari penyakit kemudian salahkan orang lain.

Penulis percaya individu yang gemar memuat naik kandungan untuk meraih perhatian di media sosial tahu kandungan mereka bakal berlaku kecaman apabila membabitkan perkongsian yang sensitif, lebih-lebih lagi apabila bercerita mengenai hal peribadi.

Sekiranya tidak mahu diri dikecam dan dimaki, individu itu sepatutnya tidak memuat naik perkongsian yang menjerat diri dan akan dijadikan tajuk berita.

Sebagai selebriti mahu pun pempengaruh, bukankah kalian sudah tahu asam garam yang perlu ditanggung apabila memuat naik perkongsian yang 'mengundang' di media sosial. Tapi kenapa masih lakukannya lagi?

Adakah kalian sengaja mahu mencari perhatian, tapi dalam waktu sama mahu kelihatan seperti 'dianiaya' apabila terdapat berita tular mengenai perkongsian diri sendiri.

Bukankah perkara itu dapat dielakkan dengan membuang bahagian kandungan yang sensitif sebelum memuat naiknya di media soaial. Lebih mudah begitu kerana tiada siapa yang tahu dan mahu ambil peduli.

Diharapkan luahan penulis ini dapat dijadikan pengajaran kepada individu yang memiliki media sosial supaya mereka lebih berhati-hati dalam setiap perkongsian.

Seeloknya, janganlah memuat naik kandungan yang meminta kecaman daripada orang. Bohonglah kalau kalian tidak tahu membezakan kandungan yang positif dan negatif. Kalian masih waras!

Akhir kata, diharapkan selepas ini kandungan yang ingin di muat naik dibaca atau ditonton berulang kali agar tiada 'tempat' untuk mana-mana pihak mengecam atau memaki hamun kalian. Renungkan.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Februari 2022 @ 6:15 AM