Gambar menunjukkan pemandangan Parlimen Iraq di ibu negara Baghdad, pada  27 Oktober 2022. FOTO AFP
Gambar menunjukkan pemandangan Parlimen Iraq di ibu negara Baghdad, pada 27 Oktober 2022. FOTO AFP
AFP

Baghdad: Parlimen Iraq meluluskan rang undang-undang (RUU) yang menakrifkan hubungan seks sejenis sebagai jenayah dan pesalah boleh dihukum penjara antara 10 hingga 15 tahun.

Individu transgender pula boleh dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun di bawah pindaan undang-undang Anti-Pelacuran 1988, yang diterima pakai semasa sesi yang dihadiri 170 daripada 329 penggubal undang-undang.

Draf sebelumnya ini mencadangkan hukuman mati bagi hubungan sejenis dalam apa yang disebut oleh kempen sebagai peningkatan "berbahaya".

Pindaan baharu itu membolehkan mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun kepada orang yang terbabit dalam hubungan sejenis, menurut dokumen yang dilihat AFP.

"Mereka juga menetapkan hukuman penjara minimum tujuh tahun kerana 'mempromosikan' hubungan sejenis dan hukuman antara satu hingga tiga tahun untuk lelaki yang 'sengaja' bertindak seperti wanita.

Undang-undang yang dipinda juga menjadikan perubahan jantina biologi berdasarkan keinginan dan kecenderungan peribadi sebagai jenayah.

Transgender dan doktor yang melakukan pembedahan itu berhadapan dengan hukuman penjara sehingga tiga tahun.

Sebelum ini tidak ada undang-undang yang secara eksplisit menghukum hubungan sejenis.

Pindaan itu juga mengharamkan pertubuhan yang 'mempromosikan' homoseksual dan menghukum amalan 'bertukar isteri' dengan hukuman penjara 10 hingga 15 tahun.

"Undang-undang berfungsi sebagai langkah pencegahan untuk melindungi masyarakat daripada tindakan sedemikian," kata ahli Parlimen yang mengusulkan pindaan itu, Raed al-Maliki, kepada AFP.

Beliau berkata kelulusan pindaan baharu itu ditangguhkan sehingga selepas lawatan Perdana Menteri Iraq Mohamed Shia al-Sudani ke Amerika Syarikat awal bulan Mei ini.

"Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah menentang undang-undang dan kami tidak mahu memberi kesan kepada lawatan itu," katanya.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara AS, Matt Miller berkata ia perkara dalaman dan pihaknya tidak akan campur tangan dalam hal ehwal negara Iraq namun turut menyatakan keprihatinan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:01 PM