INFLUENCER  maya Korea Selatan  terhasil melalui AI dikenali sebagai Rozy.
INFLUENCER maya Korea Selatan terhasil melalui AI dikenali sebagai Rozy.

SEBELUM wujudnya media sosial, antara medium penyampaian maklumat adalah melalui sembang di kedai kopi. Di sana pelbagai cerita boleh didengar, betul atau tidak, tolak ke tepi.

Namun, ketika itu, jika orang berpengaruh yang bercerita, kita pasti percaya. Individu berpakaian kemas, berpendidikan, bekerjaya bagus dan nampak meyakinkan pasti menjadi rujukan dan apa yang disampaikan pasti dipercayai.

Jika individu itu mempromosi ubat kuat, ramailah yang akan membeli. Jika dia katakan makan pil ajaib untuk jadikan anak bijak belajar, maka itulah yang diikuti.

Ketika itu, begitulah konsep pempengaruh atau influencer difahami. Jika individu itu 'kantoi' menipu, maka habislah reputasinya.

Zaman berubah dan konsep pempengaruh juga berbeza kerana media sosial menjadi ruang untuk menyebarkan pengaruh masing-masing. Untuk menilai kuatnya pengaruh seorang individu, ia dilihat melalui jumlah pengikutnya.

Beberapa tahun sebelum ini, pempengaruh media sosial menjadi pilihan syarikat untuk mempromosi produk atau perkhidmatan yang ditawarkan.

Maka, ramailah yang sanggup buat apa saja, asalkan jumlah pengikut bertambah.

Namun, teknologi semakin maju dan manusia kini perlu bersaing dengan robot untuk memenangi hati warga media sosial.

Ini kerana, sejak tahun lalu, media sosial mula disertai individu bukan manusia - karakter dihasilkan komputer dengan personaliti dan ciri-ciri manusia.

Mereka dikenali sebagai pempengaruh maya mula meluaskan pengaruh dengan memaparkan kehidupan harian serba sempurna dan menyeronokkan. Ada watak yang menyerupai kartun dan ada seperti manusia biasa.

Barbie menjadi contoh terbaik sebagai pempengaruh maya dengan karakter kartunnya namun, kini Barbie turut bersaing dengan pempengaruh maya lain yang menyerupai manusia.

AFP melaporkan Korea Selatan kini sudah mewujudkan pempengaruh maya pertamanya dikenali sebagai Rozy yang berjaya mendapatkan lebih 100 tajaan.

Ia adalah produk Kecerdasan Buatan (AI) dan dihasilkan kumpulan pereka kandungan, Sidus Studio X.

Umurnya akan kekal 22 tahun selamanya dan aktif di media sosial sebagai 'manusia sebenar' sejak Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sidus Studio X, Baek Seung-yeop berkata, Rozy menerima lapan kontrak eksklusif dan berjaya menandatangani lebih 100 tajaan.

Malah, Rozy juga dijangka meraih sehingga satu bilion won (kira-kira RM3.5 juta) menjelang akhir tahun ini hasil kerjasamanya dengan penaja.

Katanya, manusia maya seperti Rozy menjadi pilihan penaja kerana ia tidak terbabit dengan sebarang skandal yang boleh merosakkan reputasi.

Reputasi adalah sangat penting bagi sesuatu jenama kerana jika si pempengaruh yang buat hal, jenama yang terkait dengannya juga boleh terkena tempias.

Berdasarkan laporan portal Influencer Marketing Hub, antara kelebihan pempengaruh maya ini, sebarang produksi membabitkan karakter ini lebih mudah kerana tidak perlu menggunakan perunding solekan atau rambut dan tidak perlu menyewa studio penggambaran atau lokasi.

Malah, ia juga tidak membabitkan kos pengangkutan dan perjalanan kerana ia boleh berada di beberapa lokasi pada waktu yang sama.

Paling utama, penaja tidak perlu berdepan 'perangai diva' karakter ini sebagaimana segelintir manusia biasa.

Namun, terdapat juga sisi buruk jika berurusan dengan pempengaruh maya ini di mana harga perlu dibayar untuk mendapatkan karakter AI yang agak mahal.

Dengan peredaran zaman, karakter ini mungkin mula hilang pengaruh kerana pengikut mula beralih ke karakter lain.

Ia juga tidak mempunyai sentuhan sebagaimana manusia biasa khususnya dalam menerangkan produk yang dipromosi seperti rasa makanan atau keselesaan pakaian.

Ia juga tidak mempunyai emosi sebagaimana manusia menjadikan hubungan dengan pengikutnya tidak natural.

Suka atau tidak, konsep pempengaruh ini sama ada manusia sebenar atau karakter dijana komputer, akan terus wujud di platform media sosial.

Namun, usahlah jadikan pempengaruh ini sebagai satu-satunya rujukan kita membuat keputusan. Jauhkanlah diri daripada pempengaruh yang mengajak ke arah keburukan kerana akibatnya kita yang tanggung sendiri. Pempengaruh itu hilang entah ke mana, silap-silap tak mengaku kita pengikut dia.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 September 2021 @ 5:59 AM