TEN Hag minta semua pihak bersabar. FOTO Reuters
TEN Hag minta semua pihak bersabar. FOTO Reuters
AFP

Manchester: Erik ten Hag merayu kepada peminat untuk terus bersabar selepas Manchester United melakukan kesilapan sekali lagi dengan membiarkan lawan menjaringkan gol di lewat perlawanan ketika menentang Burnley.

Keputusan seri itu menyebabkan penyokong tidak berpuas hati, sekali gus mengancamnya untuk disingkirkan di Old Trafford.

Pemain sayap Brazil, Antony meletakkan United di depan pada minit ke-79 tetapi pemain gantian, Zeki Amdouni menjaringkan gol dari sepakan penalti lapan minit kemudian selepas dikasari oleh Andre Onana.

United, di tempat keenam dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), memburu slot ke Liga Europa selepas terkeluar daripada perlumbaan untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara Eropah.

Perlawanan akhir Piala FA menentang Manchester City bulan depan menawarkan peluang untuk menamatkan kempen buruk tetapi itu mungkin tidak cukup untuk mengekalkan Ten Hag di bawah pemilik bersama INEOS yang bercita-cita tinggi.

Selepas wisel penamat di Old Trafford penyokong tidak berpuas hati dengan mengherdiknya.

Sebelum itu lagi penyokong tidak berpuas hati dengan Ten Hag apabila apabila Kobbie Mainoo digantikan Scott McTominay pada separuh masa kedua dan Rasmus Hojlund turut dikeluarkan.

Kebiasaan United sentiasa melepaskan peluang untuk mencatat kemenangan selepas mendahului perlawanan dan aksi pagi tadi juga dengan corak sama.

Bagaimanapun, Ten Hag mempertahankan tindakannya menukar pemain dengan mengatakan beliau perlu melindungi pemain muda daripada kecederaan.

"Kami mempunyai beberapa pemain yang sangat muda dan itulah sebabnya kami membina semula kelab ini," kata pengendali kelahiran Belanda itu.

"Ia mengambil masa, dan kami membina ini dengan membawa masuk pemain muda.

"Rasmus Hojlund, Alejandro Garnacho, Kobbie Mainoo – mereka semua berada di musim pertama EPL dan saingan liga menjadi lebih sengit dari tahun ke tahun.

"Kami melihat data dan ia jauh lebih sengit berbanding musim lalu, terutamanya apabila anda melihat sepanjang empat atau lima musim lalu. Pemain-pemain itu perlu menyesuaikan diri dan itu memerlukan masa."

Ten Hag, yang memenangi Piala Liga tahun lalu dalam musim pertamanya bersama kelab itu, berkata beliau memohon maaf kepada semua."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:16 PM