DI sebalik tabir membuat kandungan di media sosial.
DI sebalik tabir membuat kandungan di media sosial.
Lydia Saiful

Media sosial menjadi jaringan utama bagi masyarakat dunia berkongsi maklumat, bersosial dan berkomunikasi secara maya.

Dari situ, istilah pempengaruh atau 'influencer' semakin digunakan terutama dalam kalangan generasi muda.

Pempengaruh ini turut popular muncul dalam pelbagai peringkat usia dan warga maya melihatnya antara individu inspirasi dalam beberapa hal.

Tidak terkecuali Farah Ain Syazwani Hamdan atau mesra disapa Faradelunaa, antara pempengaruh yang mempunyai pengikut tersendiri.

Anak sulung daripada empat beradik berusia 30 tahun ini bermula sekadar hobi yang suka menghasilkan dan merakam video kemudian mendapat tawaran menjadi pencipta kandungan.

Menyedari pada zaman media sosial kini, ramai yang berebut untuk bergelar sebagai pempengaruh walaupun kurang memahami makna di sebalik istilah pempengaruh itu sendiri.

Bagi Faradelunaa, setiap pekerjaan ada cabaran pahit dan manisnya. Bergelar pencipta kandungan atau pempengaruh tidak semudah disangka.

"Ini kerana individu berkenaan perlu memahami apa yang diperlukan, diinginkan orang ramai dan bagaimana untuk membuatkan orang tertarik mengetahui sesuatu perkara.

"Stigma yang mengatakan menjadi pencipta kandungan atau pempengaruh adalah pekerjaan mudah sebenarnya tidak tepat bagi saya kerana perlu aktif mencari apa yang baik untuk dikongsikan kepada orang ramai.

"Tanggungjawab sebagai pencipta kandungan lebih kepada meningkatkan kesedaran dan berkongsi informasi yang berguna kepada pengguna atau pengikut di media sosial," katanya.

Faradelunaa berkata, banyak cabaran yang dihadapi ketika menjadi pempengaruh di media sosial.

"Antara cabaran utama bagi saya adalah pesaing kerana kini ramai pencipta kandungan dan perlu mencari idea untuk kandungan supaya dihasilkan berkualiti serta berguna kepada orang ramai untuk kekal dalam industri.

"Dari segi kewangan juga satu cabaran kerana memerlukan peralatan seperti kamera, telefon serta tripod untuk menjaga kualiti video yang dibuat.

"Saya juga membuat kajian berkenaan apa kandungan yang berguna untuk pengikut di media sosial saya. Kemudian setiap kandungan berkaitan tutorial tudung mendapat sambutan (FYP) terutama di aplikasi TikTok.

"Walaupun tutorial yang saya buat adalah gaya sama, tetapi saya selitkan pelbagai elemen misalnya penggunaan pergerakan, lagu atau jenis tudung berbeza. Tambahan pula media sosial adalah aplikasi bersifat interaktif yang dibekalkan elemen grafik dan bunyi," katanya.

Akuinya, buat masa kini dia lebih gemar menjadi pencipta kandungan, model dan pengacara di media sosial berbanding membuat jenama sendiri.

"Saya belum lagi terfikir untuk membuat jenama sendiri, namun ia mungkin berubah lima tahun akan datang.

"Malah, saya lebih berminat untuk bekerja di bawah orang dan menggunakan peluang berkolaborasi dengan syarikat terutama pakaian dan tudung yang ada untuk menaikan 'personal branding' diri.

"Selain itu, saya bersyukur kerana mendapat sokongan penuh daripada ahli keluarga, kawan-kawan dan pengikut saya di media sosial yang membuatkan saya lebih bersemangat untuk terus menghasilkan kandungan bermanfaat," katanya.

Panduan bergelar pencipta kandungan Faradelunaa:

1. Perlu tingkatkan 'soft skills'

• Belajar untuk berkomunikasi dengan baik, contohnya cara bercakap di hadapan orang ramai dan sebagainya.

2. Kenal pasti kelebihan diri

• Setiap orang mempunyai keunikan diri dan jangan cuba untuk menjadi orang lain.

3. Jangan cepat berputus asa

• Bandingkan diri dengan orang lain dari sudut positif

• Elakkan terlalu berasa diri kurang berbanding orang lain kerana semua cabaran adalah proses untuk berjaya

• Setiap orang pasti mencapai sudut kejayaan masing-masing dari perspektif berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 7:01 AM