NADAL ketika beraksi menentang De Minaur. FOTO Reuters
NADAL ketika beraksi menentang De Minaur. FOTO Reuters
AFP

Madrid: Rafael Nadal membalas dendam kekalahannya kepada Alex de Minaur di Barcelona dengan kemenangan 7-6 (8/6), 6-3 ke atas pemain Australia itu bagi meneruskan saingan di Terbuka Madrid.

Bagaimanapun, pada penampilan terakhirnya di laman sendiri dia mengakui masih 'memerlukan masa' untuk kembali ke puncak permainannya.

Jelajah perpisahan Nadal di Sepanyol menyaksikan dia menentang De Minaur dua kali dalam tempoh beberapa minggu tetapi keputusan kali ini diterbalikkan apabila juara Grand Slam 22 kali itu mara ke pusingan ketiga untuk menempah pertemuan dengan Pedro Cachin dari Argentina.

Di hadapan penonton termasuk Raja Sepanyol, Felipe VI, ikon bola sepak Perancis Zinedine Zidane, dan pemain sayap Real Madrid, Vinicius Junior, Nadal beraksi sebaik-baiknya untuk mengetepikan pemain ke-11 dunia itu walaupun mengakui menjelang kejohanan dia masih bergelut pelbagai masalah fizikal.

Ia adalah persembahan mengagumkan daripada pemain berusia 37 tahun itu tetapi dia segera menolak tanggapan kembali berada pada tahap sama seperti dahulu.

"Tidak belum lagi. Ia memerlukan masa," kata Nadal di gelanggang selepas perlawanan.

"Beraksi selama dua jam amat bermakna buat saya dan langkah demi langkah perlu dilalui dan mari lihat bagaimana saya pulih."

Juara lima kali Terbuka Madrid itu berkata, dia tidak akan membuat keputusan untuk bermain di Terbuka Perancis sehingga selepas aksi di Rom yang bermula minggu depan, dan menjelaskan faktor utama yang akan menentukan penyertaannya.

"Ia bukan soal kalah atau menang. Ia mengenai pergi ke gelanggang di sana dengan perasaan bahawa saya boleh bertarung dan saya boleh berdaya saing," kata juara Terbuka Perancis 14 kali itu.

"Jadi jika saya tidak dapat pergi ke gelanggang dan bermimpi, bagi saya ia tidak masuk akal untuk pergi. Saya lebih suka kekal dengan semua kenangan indah yang saya miliki."

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 12:58 PM