Omar Ahmad


Johor Bahru: MCA diminta tidak mengganggu atau mencemarkan imej calon Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kuala Kubu Baharu (KKB).

Ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH), Adam Adli Abd Halim berkata, pihaknya bersikap terbuka terhadap pendirian MCA yang tidak memberikan sokongan terhadap calon DAP terbabit.

Bagaimanapun katanya, gangguan kempen bersifat mencemarkan imej perlu dielakkan, supaya tidak mengeruhkan keadaan.

"Kita ambil sikap terbuka, kita terima kalau ada kemarahan atau perkara yang tidak selesai. Kena ada perkara yang kita tegaskan, dalam keadaan sekarang tidak mahu bantu atau tidak bersedia bantu kempen.

"Tetapi jangan pula kita mulakan kempen lain yang seolah-olah nak ganggu, cemarkan nama calon atau parti yang terbabit.

"Kita tidak mahu memberi suasana terlalu bergelora, kita tak nak kempen sebegitu. Jadi saya harap perkara ini yang boleh rakan MCA pertimbangkan supaya kita tak keruhkan keadaan," katanya pada sidang media selepas Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) di peringkat Johor di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

Adam Adli yang juga Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, pihaknya berharap ada jalan untuk memperbaiki hubungan antara kedua parti itu.

Katanya, walaupun kempen itu membabitkan lebih kurang 50,000 pengundi tetapi ia juga akan memberikan kesan nasional membabitkan naratif nasional dan isu kaum.

"Saya harap sangat kempen di PRK KKB ini dapat digerakkan secara sihat dan baik. Biasa kempen memang panas tetapi jangan tambah gelora dan jangan timbulkan kempen tidak harmoni pelbagai kaum.

"Jangan kerana kempen kita pecah belahkan masyarakat. Kalau kata tidak setuju ada isu antara MCA dan DAP yang perlu diselesaikan, kalau tidak dapat selesaikan jangan serang rakan parti," katanya.

Pada PRK KKB, Sock Tao yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menjadi calon Kerajaan Perpaduan mewakili DAP.

PRK KKB menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Sock Tao dengan Perikatan Nasional (PN) diwakili Khairul Azhari Saut, Parti Rakyat Malaysia (PRM) diwakili Hafizah Zainuddin (PRM) dan Nyau Ke Xin selaku calon Bebas.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 12:29 PM