ARASH Mohamad ketika tayangan perdana filem " Dalang " di MBO Cinemas, Atria Shopping Gallery. Petaling Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
ARASH Mohamad ketika tayangan perdana filem " Dalang " di MBO Cinemas, Atria Shopping Gallery. Petaling Jaya. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syafil Syazwan Jefri


Petaling Jaya: Pelakon, Arash Mohamad, 54, menasihatkan golongan selebriti supaya tidak menjadi mangsa penipuan terutamanya, berkaitan tawaran atau urusan yang dilakukan menerusi media sosial.

Arash berkata, golongan selebriti termasuklah artis dan pempengaruh perlulah meneliti sesuatu tawaran yang ditawarkan terlebih dahulu sebelum berurusan.

"Nasihat saya kepada golongan selebriti, kalau sesiapa tawarkan untuk kerjasama, periksa dan selidik terlebih dahulu kerana mereka yang suka mengambil kesempatan ini, memang mensasarkan orang yang sedang berada di kemuncak.

"Zaman sekarang, teknologi pun semakin maju. Jadi, kesempatan yang diambil juga jadi semakin meluas dan mudah," katanya.

Menurut pelakon filem Dalang itu lagi, dia juga lebih selesa sekiranya berurusan menerusi panggilan telefon berbanding media sosial.

"Kadang-kadang, ada yang menghubungi saya menerusi Direct Message (DM) di Instagram atau Facebook untuk tawarkan kerjasama contohnya, reviu produk dan sebagainya.

"Selalunya, saya akan minta nombor telefon mereka atau berikan nombor telefon saya untuk mereka hubungi. Saya tak suka DM di media sosial kerana urusan kerja itu nampak tak wajar dan tak rasmi.

"Sekurang-kurangnya, kalau dihubungi menerusi panggilan telefon, saya boleh simpan nombor itu. Kalau sekadar di Facebook atau Instagram, sekarang dah terlalu banyak akaun palsu yang menjalankan penipuan.

"Saya pula orang tua dan tak reti sangat nak berurusan di media sosial. Jadi, hubungi saya melalui telefon dan kita bincang. Kalau setuju, kita teruskan," katanya.

Terbaharu, Arash membintangi filem Dalang arahan pengarah, Nik Amir Mustapha yang ditayangkan di platform Tonton bermula 20 Disember 2023.

Selain Arash, filem Dalang juga turut dibintangi Luqman Hafidz, Liyana Jasmay, Aziz M Osman, Wan Raja dan ramai lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 1:28 PM