EMPAT influencer media sosial China ditahan kerana mencuri bot penyelamat pihak berkuasa semata-mata untuk kandungan media sosial mereka. FOTO Douyin
EMPAT influencer media sosial China ditahan kerana mencuri bot penyelamat pihak berkuasa semata-mata untuk kandungan media sosial mereka. FOTO Douyin
Agensi

Beijing: Gara-gara mahu membuat kandungan dalam media sosial mereka, empat pempengaruh media sosial China sanggup mencuri bot penyelamat menyebabkan pihak berkuasa terpaksa menangguhkan empat jam operasi pencarian mangsa banjir.

Daily Star melaporkan wilayah Henan dilanda banjir besar pada Julai lalu menyebabkan 302 orang meninggal dunia manakala 50 orang hilang.

Video aksi empat lelaki menggunakan aplikasi Douyin itu disoal siasat pihak berkuasa menjadi tular.

Empat pempengaruh itu mengenakan jaket penyelamat dengan mengesahkan kepada pengikutnya mereka berada di Xinxiang.

"Helo semua, ketika ini kami berada di bandar Xinxiang, satu daerah yang paling terkesan banjir di Henan," kata seorang daripada mereka.

Kepada pengikutnya, mereka juga mengakui cuba mencari mangsa yang terselamat dalam arus air yang masih meningkat.

Ketika mereka menaiki bot penyelamat itu, anggota penyelamat datang dan menahan mereka serta memanggil empat lelaki itu penipu.

Anggota penyelamat menuduh mereka memberi pengaruh buruk kerana mencuri kelengkapan menyelamat pihak berkuasa.

"Menyelamatkan orang? Kamu curi bot ini. Ke mana kamu fikir mahu pergi," herdik seorang penyelamat.

Ketua operasi menyatakan kekesalan kerana sikap tidak bertanggungjawab mereka menyebabkan usaha mencari mangsa terselamat dibazirkan selama empat jam.

"Petang ini, dua bot kami hilang dan kami menghabiskan masa berjam-jam mencarinya. Kami sangat marah," jelasnya.

Mereka menemui empat lelaki itu dan bot penyelamat mereka dilihat sudah rosak.

Netizen mengecam tindakan empat lelaki itu yang dilakukan semata-mata untuk meraih perhatian ramai.

"Saya jijik melihat mereka hanya berusaha mendapatkan populariti. Mencuri adalah tindakan haram!" kecam warganet.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Ogos 2021 @ 7:01 AM