Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long pada sidang media di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long pada sidang media di Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan di sini, hari ini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nor Fazlina Abdul Rahim

Kota Bharu: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan mengesan rokok pemanas atau rokok yang menggunakan peranti pemanas tembakau mula menjadi tumpuan penyeludup di Kelantan.

Pengarah JKDM Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, ia berdasarkan rampasan pertama membabitkan rokok pemanas itu sebanyak 900,000 batang rokok bernilai RM270,00 tanpa cukai di Wakaf Bharu, Tumpat, 9.30 malam Rabu lalu.

"Ini kali pertama kita merampas rokok pemanas yang diseludup masuk ke Kelantan, jika sebelum ini rampasan membabitkan rokok putih pelbagai jenama.

"Kita percaya rokok berkenaan dibawa masuk dari Thailand. Sindiket berkenaan menggunakan khidmat penyeludup untuk membawa rokok terbabit bagi pasaran Kelantan dan Lembah Klang.

"Kebanyakan yang menggunakan rokok pemanas adalah golongan muda dan harga yang dijual agak mahal sekitar RM14 sekotak di Malaysia," katanya ketika sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Jamal berkata, pihaknya akan menggandakan risikan dan pemantauan bagi mengekang kemasukan rokok pemanas dan rokok putih yang lain.

"Jika rokok pemanas sudah mula diseludup masuk, ini bermakna permintaan terhadap rokok terbabit semakin tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:27 PM