Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa (Farmasi), Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur menahan tiga warga Indonesia yang membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan dalam serbuan di tiga premis sekitar Setapak dan Ampang Khamis lalu.
Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa (Farmasi), Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur menahan tiga warga Indonesia yang membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan dalam serbuan di tiga premis sekitar Setapak dan Ampang Khamis lalu.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tiga warga Indonesia termasuk dalang utama kegiatan membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan dari 'seberang' tanpa kebenaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ditahan dalam serbuan di siini Khamis lalu.

Tangkapan dibuat Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Pegawai Penguatkuasa (Farmasi), Jabatan Kesihatan Kuala Lumpur selepas menyerbu tiga premis di Setapak dan Ampang.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi khas yang dijalankan itu berjaya menahan seorang wanita warga Indonesia dipercayai dalang utama dalam membawa masuk produk berkenaan.

"Turut ditahan seorang lelaki warga Indonesia dan seorang perempuan warga Indonesia berusia 25 dan 35 tahun yang dipercayai berperanan sebagai jurujual dalam talian produk kosmetik dan kecantikan.

"Hasil semakan awal mendapati, dalang utama berkenaan memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sahlaku, manakala pekerjanya tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini manakala lelaki terbabit didapati tinggal lebih masa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, serbuan turut merampas produk kosmetik dan kecantikan pelbagai jenama, dua naskhah pasport Indonesia, wang tunai sebanyak RM3,263 dan IDR3,271,000 (RM960).

"Modus operandi sindiket adalah membawa masuk produk kosmetik dan kecantikan secara haram untuk dijual kepada pelanggan secara dalam talian melalui ejen dengan harga RM159 setiap satu.

"Sindiket ini menggunakan media sosial untuk mempromosikan produk kosmetik dan kecantikan serta dipercayai sudah beroperasi selama enam bulan,"katanya.

Ruslin berkata, semua warganegara asing itu ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan ditahan di Depot Imigresen Semenyih.

"Manakala seorang lelaki warganegara Malaysia diberikan Notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan.

"Warganegara asing ini juga akan disiasat oleh pihak KKM kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 12:16 PM