HIJRAHKAN Laguku menyampaikan mesej dakwah menerusi lirik lagu yang digubah.
HIJRAHKAN Laguku menyampaikan mesej dakwah menerusi lirik lagu yang digubah.
Zaara Talita


DEMI mengukuhkan empayar sebagai ejen penyebar dakwah dalam arus teknologi penyiaran, TV AlHijrah mengambil langkah berani menampilkan program pertandingan hiburan Islamik iaitu Hijrahkan Laguku.

Pertaruhan ini diambil selepas melihat kepada keperluan metodologi dakwah yang lebih kreatif, bersesuaian dengan konsep Keluarga Malaysia, peredaran zaman, kehendak penonton serta selari dengan tuntutan syarak.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, Hijrahkan Laguku adalah program hiburan Islamik yang menampilkan gabungan lapan penyanyi lama dan baharu dalam industri muzik tanah air.

"Program ini berperanan menyampaikan mesej dakwah menerusi lirik lagu yang digubah hingga akhirnya seorang daripada mereka bergelar juara pertandingan.

"Ia bakal menjadi fenomena yang mampu membentuk masyarakat dan mencetuskan gelombang pembangunan jiwa ummah," katanya.

Namanzee berkata, ia juga mempunyai kekuatan untuk memenuhi kehendak jiwa manusia yang meminati muzik.

"Kita bukan saja memberikan hiburan, malah turut menyelitkan elemen positif dan Islamik serta wasilah dakwah kontemporari. Ini bertujuan menghubungkan penonton setia stesen ini dengan Allah SWT yang simbiosis kukuh di antara manusia dan seni muzik tidak dapat dinafikan. Manusia secara fitrah mudah tertarik kepada bunyi-bunyian yang menyenangkan, lirik lagu mempesona serta seni persembahan memberi kedamaian.

BARISAN artis yang bertanding dalam program Hijrahkan Laguku bersama Namanzee (berdiri tiga dari kiri).
BARISAN artis yang bertanding dalam program Hijrahkan Laguku bersama Namanzee (berdiri tiga dari kiri).

"Hijrahkan Laguku mempunyai kekuatan untuk memenuhi kehendak jiwa manusia yang sukakan muzik. Kita tambah elemen hiburan Islamik serta wasilah dakwah kontemporari yang bertujuan menghubungkan penonton setia stesen ini dengan Allah SWT," katanya.

Hijrahkan Laguku ini bakal bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 20 November ini.

Mengangkat tema Journey Back To Him, Hijrahkan Laguku akan disertai barisan penyanyi popular seperti Datuk Nash Lefthanded, Iwan Shahman, Mark Adam, Pangeran Adam (Adam AF2), Zaf VE, Shahir Zawawi, Zack Kool dan Rahmad Mega.

Pemilihan artis yang menyertai pertandingan realiti TV ini dibuat berdasarkan beberapa kriteria.

Antara yang utama adalah kisah penghijrahan mereka yang unik serta mampu mendorong penonton untuk menjadi khalifah Allah terbaik di muka bumi ini. Turut diambil kira bakat, aura, karisma serta kekuatan mereka dalam bidang nyanyian.

Daripada segi penjurian pula, seorang juri profesional yang juga komposer dan penulis lirik dipilih untuk menilai persembahan setiap peserta. Bagaimanapun, juri program ini hanya akan diumumkan pada konsert pertama nanti.

Ditanya mengenai pemilihan peserta yang semuanya adalah lelaki, Namanzee berkata, TV AlHijrah mengambil kira soal sensitiviti.

"Kita mengambil kira beberapa perkara seperti sensitiviti berkongsi pentas di antara lelaki dan wanita. Disebabkan itu kami buat keputusan untuk pilih peserta lelaki dulu untuk musim pertama ini," katanya.

Menurut Namanzee, sepanjang program ini berlangsung, mereka akan mengambil kira segala maklum balas daripada penonton termasuk peminat, pihak media dan penggiat industri hiburan untuk penambahbaikan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 November 2021 @ 6:10 AM