EMPAT peserta menempah tiket ke minggu akhir program Hijrahkan Laguku, Shahir (dari kiri), Nash, Iwan dan Adeep yang menggantikan Mark Adam.
EMPAT peserta menempah tiket ke minggu akhir program Hijrahkan Laguku, Shahir (dari kiri), Nash, Iwan dan Adeep yang menggantikan Mark Adam.
Sudirman Mohd Tahir


SELEPAS tujuh episod bersiaran, program Hijrahkan Laguku bakal memasuki konsert akhir, Sabtu ini.

Pada persembahan minggu separuh akhir Sabtu lalu, empat bintang iaitu Datuk Nash, Iwan Syahman, Shahir Zawawi dan Mark Adam menempah tiket ke minggu akhir.

Bagaimanapun, langkah Zaf VE dan PG Adam terhenti pada minggu separuh akhir apabila berada di kedudukan dua terbawah, sekali gus diumumkan sebagai bintang yang tersingkir.

Pasrah dengan penyingkiran itu, Zaf atau nama sebenarnya Zafri Nazarudin berkata, dia bertuah kerana terpilih menjadi sebahagian program Hijrahkan Laguku musim yang pertama ini.

"Saya terima lamaran untuk menyertai program ini kerana keunikannya yang secara tidak langsung membawa penyanyi ke peringkat berbeza. Kalau nak berdakwah macam ustaz, saya memang tak pandai, tetapi saya salurkan dakwah itu dalam lagu.

"Saya harapkan program Hijrahkan Laguku ini tidak akan terhenti di minggu final, tetapi akan diteruskan musim seterusnya," katanya ketika ditemui sebaik berakhir program itu di Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah.

Sependapat dengan Zaf, PG Adam atau nama sebenarnya Mohd Aizam Mat Saman berkata, sejak hari pertama menandatangani kontrak, dia sudah maklum dengan konsep program itu yang melakukan penyingkiran setiap minggu.

"Saya memang sudah bersedia dan tidak meletakkan jangkaan tinggi. Moga sesiapa yang menonton akan mendapat manfaat daripada apa yang kami cuba sampaikan," katanya.

PERSEMBAHAN daripada Nash.
PERSEMBAHAN daripada Nash.

ADEEP jadi penyanyi gantian Mark Adam.
ADEEP jadi penyanyi gantian Mark Adam.

Dalam pada itu, persembahan pada minggu separuh akhir menyaksikan Shahir yang menyampaikan lagu Salam Terakhir mengungguli tangga pertama dengan 73 peratus.

Shahir turut menerima anugerah Bintang Qudwah kerana personaliti baik yang ditunjukkan sepanjang program ini berlangsung.

Mengulas mengenai kejayaannya ke minggu akhir, Shahir berkata, dia berasa agak sedih kerana program Hijrahkan Laguku bakal berakhir.

"Saya nak ucapkan terima kasih kepada TV AlHijrah atas kesempatan ini. Semoga pembabitan saya ini ada memberi sedikit saham (akhirat) dan harapnya selama berada dalam program ini, saya dapat sampaikan sesuatu kepada penonton. Harapnya juga program ini akan diteruskan atau lebih banyak program seumpama ini," katanya.

Mark Adam bakal kembali

Sementara itu, ditanya mengenai status Mark Adam dalam program Hijrahkan Laguku, Pengurus Penjenamaan & Kajian Pengguna, Zulkarnaen Mokhtar berkata, penyanyi yang berasal dari Filipina itu akan kembali menyelesaikan tugasnya pada minggu akhir.

Tempat Mark yang masih berada dalam tempoh kuarantin selepas dijangkiti Covid-19 digantikan ahli kumpulan VE, Adeep Nahar pada pentas separuh akhir lalu.

"Apa yang saya dimaklumkan, Mark sudah beransur sihat dan bersedia untuk menyanyi sendiri pada minggu akhir. Jadi, kami jangkakan dia akan kembali nanti dan Adeep hanya menggantikan beliau pada minggu separuh akhir saja," katanya.

Menurut Zulkarnaen, hadiah untuk pemenang hanya akan diumumkan pada segmen pembukaan persembahan akhir minggu hadapan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 6:50 AM