Persembahan Bella di China.
Persembahan Bella di China.

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon, Bella Astillah, 30, bersinar membawa nama Malaysia melakukan persembahan di acara Wuhu Shenshan Music Festival 2024 di China, semalam.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Ara Nabellah Awang Astillah yang mendendangkan lagu Mandarin, Zheng Fu dan lagu rakyat Sumandak Sabah jelas seronok dengan peluang keemasan diraihnya itu.

"Alhamdulillah selesai tugas di China. Sedikit klip untuk semua kesayangan di Malaysia! Saya bangga menjadi orang Sabah dan Malaysia," katanya.

Bahkan, hantarannya mengenai pencapaian di tanah besar itu mendapat sorakan ramai rakan artis selain pengikutnya menerusi komen-komen.

Antaranya penyanyi asal Sumandak Sabah sendiri iaitu Marsha Milan, Puteri Sarah Liyana, Nora Danish, Umie Aida dan ramai lagi.

Lebih menarik, ramai nyatakan kekaguman mereka terhadap semangat Bella untuk 'terbang tinggi' di kala kontroversi rumah tangganya bersama suami juga penyanyi Aliff Aziz masih sibuk diperkatakan.

"Fuh sekarang aku tengah tengok dijatuhkan berada di pentas besar bawa nama negara, yang menjatuhkan tengah naik bas dan merayau jalan kaki. Allah itu maha adil, besar betul ganjaran orang bersabar.

"Pelakon biasa di mata mentua tapi tetap luar biasa di mata peminat Bella. Terbanglah Bella setinggi boleh supaya dapat melihat dunia pernah merendahkan kamu satu ketika dahulu.

"Di saat dia dijatuhkan, dia sendirian berjuang terus bangkit demi anak-anak, tahniah Bella semoga terus berjaya dan kuat berdiri. Kami wanita sedunia sentiasa menyokongmu," antara komen netizen.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 5:33 PM