DAQMIE menerusi lagu Yang Terindah.
DAQMIE menerusi lagu Yang Terindah.
Sudirman Mohd Tahir


MINGGU keenam program Hijrahkan Laguku yang ditayangkan pada 25 Disember lalu menampilkan Episod Khas Hijrahkan Laguku Solidariti Untuk Malaysia dijayakan oleh Lah Ahmad, Kumpulan Zayne, Daqmie, Zack Kool, Rahmad Mega, Ustaz Zarifi Daud, Suffian Amrin dan Ustaz Fazrul.

Episod khas itu bagi menggantikan program realiti itu bagi menyantuni mereka yang terkesan akibat bencana banjir, baru-baru ini.

TV Alhijrah mengambil langkah dengan merehatkan sebentar artis yang bertanding bagi menghormati rakyat Malaysia yang sedang berduka selepas musibah banjir yang melanda di beberapa negeri pada 18 Disember lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkata, episod khas itu diharap mampu memberi semangat dan motivasi baharu kepada rakyat Malaysia.

"Bagi yang terkesan dengan banjir khususnya, diharapkan Hijrahkan Laguku Solidariti Untuk Malaysia dapat menyingkap hikmah di sebalik ujian yang menimpa rakyat Malaysia. Program ini sekali gus mahu menghormati rakyat Malaysia yang sedang berduka akibat dilanda musibah banjir.

ZACK Kool menyanyikan lagu Makbulkanlah.
ZACK Kool menyanyikan lagu Makbulkanlah.

"Apa yang kita mahukan juga adalah menerusi program ini dapat memberikan ibrah kepada penonton atas setiap kisah misi kemanusiaan artis-artis Hijrahkan Laguku, sekali gus dengan doa yang dibacakan Ustaz Don dari Makkah yang diaminkan penonton TV Alhijrah," katanya.

Pada Episod Khas Hijrahkan Laguku Solidariti Untuk Malaysia turut menampilkan tetamu jemputan seperti Datuk Ustaz Kazim Elias selaku penceramah, Furqan Fawwaz (Qari),

FAIZAL dan Ustaz Zarifi selaku hos.
FAIZAL dan Ustaz Zarifi selaku hos.

Ustaz Fazrul Ismail (Pentadabbur) manakala Faizal Ismail FBI selaku pengacara utama dan Ustaz Zarifi Daud hos jemputan.

Apa yang menariknya, pada episod khas itu bukan sahaja berhibur tetapi dapat mengupas sedikit sebanyak berkenaan banjir yang melanda Malaysia.

Malah barisan artis jemputan menyanyikan lagu serta diselitkan dengan bacaan kitab suci al-Quran bersama tadabbur terjemahannya.

Penceramah jemputan turut memberikan ibrah daripada setiap kisah artis Hijrahkan Laguku yang diceritakan secara langsung melalui aplikasi Google Meet.

LAH Ahmad memilih menyanyikan lagu Ya Allah dan Salam.
LAH Ahmad memilih menyanyikan lagu Ya Allah dan Salam.

Episod ketujuh Hijrahkan Laguku bakal kembali bersiaran pada minggu ini yang menyaksikan enam bintang berdakwah beraksi di pentas separuh akhir.

Mereka terdiri daripada Datuk Nash, Shahir Zawawi, Zaf VE, Mark Adam, Iwan Syahman dan PG Adam.

Hijrahkan Laguku bersiaran secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 20 November lalu turut mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM), dan Hotel Premiera Kuala Lumpur.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia para peserta boleh ditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam.

Siaran ulangan HL turut boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang. Manakala rancangan Hijrah Prihatin bersama artis HL pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 6:30 AM