HOS, Faizal dan Bell ketika mengumumkan dua peserta terbawah, Rahmad Mega dan PG Adam.
HOS, Faizal dan Bell ketika mengumumkan dua peserta terbawah, Rahmad Mega dan PG Adam.
Sudirman Mohd Tahir


BERDEBAR dan kecut perut. Itu gambaran perasaan penonton TV AlHijrah yang berada di rumah mahupun di Studio Digital stesen ini apabila Faizal Ismail dan Bell Ngasri selaku hos program Hijrahkan Laguku (HL) mengumumkan PG Adam dan Rahmad Mega berada di kedudukan terbawah pada minggu ketiga program itu, Sabtu lalu.

Namun, rezeki tidak berpihak kepada Rahmad. Perjalanan penyanyi kumpulan Mega itu tersingkir, sekali gus menjadi peserta pertama yang meninggalkan pentas realiti Hijrahkan Laguku.

Bertemakan bebas, Rahmad yang membawakan lagu Hentikan Alasanmu dengan gubahan lirik baharu hanya mendapat 60 markah keseluruhan daripada juri

profesional iaitu Fauzi Marzuki, Hazamin Inteam serta Ustaz Syed Norhisyam Tuan Padang.

Rahmad berkata, dia menerima keputusan juri dengan hati terbuka dan tidak menganggap bahawa itu adalah penamat kepada usaha dakwah.

"Saya menghadapi sedikit kesukaran untuk memilih lagu pada minggu ketiga ini. Manakan tidak, saya perlu pastikan lagu itu bukan saja boleh dinyanyikan dengan baik, namun perlu elemen lirik ketuhanan serta suntikan dakwah.

NASH mendapat markah tertinggi.
NASH mendapat markah tertinggi.

MARK Adam dapat Anugerah Bintang Nurani.
MARK Adam dapat Anugerah Bintang Nurani.

"Ini bukan pengakhiran kepada kerja dakwah saya, tetapi ini adalah permulaan kepada lebih banyak usaha dakwah dan langkah kerjaya yang lebih baik pada masa hadapan. Saya ucapkan selamat maju jaya kepada rakan-rakan artis lain yang masih berada di pentas HL," katanya.

Penerbit rancangan HL, Nurainah Nabeeha Hassan berkata, walaupun berat hati, namun adat pertandingan realiti pastinya akan ada peserta yang tersingkir dalam mencari bintang terbaik.

"Penyingkiran secara adil dan berhemah ini adalah keputusan bersama pihak juri selepas mengambil kira persembahan lagu dan lirik, persembahan pentas serta adab persembahan. Kalau diikutkan, HL sangat berbeza dengan program realiti yang pernah disiarkan di mana-mana platform sebelum ini. Kami titikberatkan elemen pendakwahan. Setiap artis yang menyertai pertandingan hadir dengan kisah penghijrahan berbeza.

"Kisah penghijrahan yang dikongsikan peserta setiap minggu di setiap persembahan pasti meninggalkan kesan mendalam kepada penonton. Rasa rugi apabila hilang satu bintang.

"Juri, Fauzi Marzuki turut sependapat dengan saya. Dia sendiri akui amat sukar untuk membuat keputusan penyingkiran kerana semua artis menunjukkan peningkatan prestasi persembahan yang begitu mendadak pada minggu ini berbanding minggu sebelum ini. Namun, adat pertandingan, ada kalah ada menang" katanya.

Dalam hiba ada gembira. Persembahan minggu ketiga HL turut menyaksikan Mark Adam menerima Anugerah Bintang Nurani. Anugerah itu diberikan atas peningkatan nyanyian dan persembahan penyanyi kelahiran Filipina itu dari minggu pertama walaupun sering menerima kritikan pedas Fauzi Marzuki.

Sementara itu, Datuk Nash yang menyanyikan lagu Tiada lagi Kidungmu mendapat markah tertinggi (78 peratus) diikuti Shahir Zawawi ditempat kedua dengan lagu Rasul (72 peratus) dan Zaf V.E di tempat ketiga dengan lagu Tunjuk Jalanmu (70 peratus).

BARISAN juri Hijrahkan Laguku minggu ketiga.
BARISAN juri Hijrahkan Laguku minggu ketiga.

Selain itu, persembahan lain yang berjaya memukau penonton adalah Iwan Shahman (Tuhan), Zack Kool dengan (Tidak Kekal Lama), Mark adam (Isteriku) dan PG Adam (Mari Mengaji). Lagu Tolaal Badru Alaina pula dipilih sebagai lagu penutup berkumpulan.

Hijrahkan Laguku yang bersiaran setiap Sabtu, jam 9 malam mendapat tajaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Hotel Premiera Kuala Lumpur.

Klip sedutan sesi latihan vokal, persiapan persembahan dan trivia peserta boleh ditonton melalui liputan kapsul yang disiarkan setiap hari, jam 7.55 malam.

Siaran ulangan HL turut boleh ditonton di TV AlHijrah pada setiap Ahad, jam 4.30 petang. Manakala rancangan Hijrah Prihatin beama artis HL pula disiarkan setiap Sabtu dan Ahad, jam 1 tengah hari.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:49 AM