REXY Mainaky (kiri) ketika bersama pemain-pemain di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone hari ini. FOTO BERNAMA
REXY Mainaky (kiri) ketika bersama pemain-pemain di Pusat Sukan Chengdu High-tech Zone hari ini. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Chengdu: Kem perseorangan wanita negara perlu memiliki semangat juang tinggi sekiranya mahu mencabar pemain lain dalam saingan antarabangsa selepas ini.

Berdasarkan prestasi mereka di Piala Uber 2024 di sini, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia Rexy Mainaky berkata beliau kesal melihat pemain seolah-olah tidak mempunyai daya melawan tinggi sehingga gagal memberi tentangan diharapkan sewaktu berdepan pemain ranking lebih tinggi.

Malah, Rexy mendedahkan terdapat sebilangan pemain yang 'lega' terlepas daripada menjalani sesi latihan sebelum ini dengan alasan kecederaan.

"Cara fikir mereka sekiranya sakit rasa gembira, padahal orang lain kita lihat sehingga menangis dan menyesal tak main namun pemain kita rasa selamat boleh ponteng latihan.

"Jika tak boleh lawan diri sendiri, macam mana mahu cabar pemain lain," katanya kepada pemberita selepas Malaysia menumpaskan Australia 4-1 pada aksi terakhir Kumpulan B, hari ini.

Justeru, Rexy menggesa pemain wanita negara untuk mencontohi jaguh Sepanyol dan pemenang emas Olimpik Carolina Marin yang sebelum ini bergelut susulan pembedahan lutut sebanyak dua kali, sebelum kembali ke puncak dengan merangkul gelaran All England 2024, Mac lalu.

Pakar beregu dari Indonesia itu juga kecewa dengan persembahan Siti Nurshuhaini Azman yang banyak melepaskan mata mudah dalam perlawanan menentang pemain nombor 20 dunia Busanan Ongbamrungphan 15-21, 8-21 sewaktu pasukan negara dibenam naib juara 2018, Thailand, 0-5, Isnin lepas.

"Saya perlu jujur kerana Siti Nurshuhaini tiada usaha untuk mengangkat semula pukulan lawannya, kita memang jangka dia kalah namun usaha itu mana," katanya.

Selain Siti Nurshuhaini, turut beraksi pada saingan kali ini pemain profesional Goh Jin Wei, K. Letshanaa, Wong Ling Ching dan Siti Zulaikha Muhammad Azmi.

Jin Wei, Ling Ching dan Siti Zulaikha menang sekali dalam perlawanan masing-masing di Chengdu, iaitu ketika membantu skuad negara mengatasi Australia, 4-1, awal hari ini.

Dalam pada itu, bekas juara Olimpik berusia 56 tahun itu berkata skuad Piala Uber negara menyajikan aksi positif biarpun tumpas 1-4 kepada Taiwan dalam aksi pembukaan, namun merumuskan mereka terlalu 'menghormati' Thailand sehingga dibelasah 0-5, Isnin lepas.

"Kita mengharapkan cara fikiran mereka sebaik melangkah ke gelanggang lebih kepada 'tak rugi apa-apa' (nothing to lose) tapi jangkaan (itu) nampak lebih ditunjukkan pada aksi lawan Taiwan namun sangat berlawanan dengan lawan Thailand," katanya.

Malaysia gagal layak ke suku akhir edisi kali ini selepas tumpas kepada Taiwan dan Australia. Kali terakhir skuad negara layak ke suku akhir adalah pada 2010.

Dalam pada itu, Rexy menyifatkan pemain perseorangan ketiga negara Justin Hoh menampilkan aksi mengagumkan sehingga berjaya mengheret pemain di ranking ke-26 dunia dari Denmark, Rasmus Gemke, ke set penentuan dalam perlawanan terakhir Kumpulan D Piala Thomas, malam tadi.

Justin, yang berada di kedudukan ke-233, tidak memberikan laluan mudah kepada Gemke sepanjang 76 minit permainan berlangsung sebelum pemain berusia 20 tahun itu dijinakkan 13-21, 21-19, 13-21, sekali gus menyaksikan Denmark mengatasi skuad negara 3-2 untuk muncul johan kumpulan.

Malaysia yang sudah mengesahkan tempat di suku akhir, memulakan kempen dengan dua kemenangan 5-0 mengatasi Hong Kong pada Sabtu diikuti Algeria, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 6:03 PM