SHAHIR Zawawi. FOTO arkib NSTP
SHAHIR Zawawi. FOTO arkib NSTP
Zaara Talita


Kuala Lumpur: Selepas menjuarai program Akademi Fantasia musim kelapan pada 2010, kerjaya Shahir Zawawi dalam industri hiburan tempatan sering tenggelam timbul.

Selain album sulung berjudul Shahir pada 2012 dan memenangi kategori Artis Baharu Lelaki Popular dalam Anugerah Bintang Popular BH pada 2010, kerjaya Shahir turun naik selain dikenali kerana gosipnya dengan selebriti popular, Ezza Fazira.

Shahir ketika ditemui mengakui dia ada kelemahan yang menjadikan dirinya tidak sempurna.

"Insya-Allah, kematangan usia membuatkan saya lebih berfikir panjang selepas ini," katanya.

Shahir juga mengakui dia sukar berdepan konflik, namun pengalaman lalu banyak membantunya menjadi lebih baik pada masa akan datang.

"Mungkin sebelum ini jika ada ujian melanda saya akan elak, namun apabila meluangkan masa dengan orang-orang lama seperti abang Nash, abang Iwan dan ramai lagi, ia mengajar saya menjadi lebih baik. "Seiring dengan peningkatan usia, saya akan berfikir lebih panjang selepas ini. Apabila dilanda ujian, Allah SWT ingin memberikan sesuatu yang lebih baik buat kita," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu , Shahir menjelaskan sudah lama ingin membuat kemunculan semula tetapi pandemik Covid-19 menghalang hasratnya untuk menghasilkan buah tangan terbaru.

Katanya, tawaran menyertai program Hijrahku Laguku di TV AlHijrah adalah peluang terbaiknya untuk mengubati rindu peminat.

"Sebenarnya saya rancang untuk membuat kemunculan semula pada tahun lalu tetapi terhalang disebabkan Covid-19. Banyak kerja yang tertangguh dan saya takut untuk keluarkan lagu kerana tidak tahu keadaannya bagaimana.

"Tahun ini apabila kerajaan membenarkan kita kembali bekerja dan kebetulan saya dijemput untuk program ini, jadi saya terima. Saya menganggap program ini sebagai platform yang baik untuk kembali aktif.

"Saya bukan masuk program ini untuk menyatakan saya sudah berhijrah tetapi sebagai tanda sokongan kepada peminat. Saya rasa program ini baik untuk pengkarya seni dan selebihnya untuk saya kembali aktif," katanya.

Hijrahkan Laguku akan disiarkan secara langsung selama lapan minggu dari Studio Penyiaran Digital TV AlHijrah, setiap Sabtu, jam 9 malam mulai 20 November ini.

Selain Shahir, program dengan tema 'Journey Back To Him' turut disertai penyanyi popular seperti Datuk Nash Lefthanded, Iwan Shahman, Mark Adam, Adam AF2, Zaf VE, Zack Kool dan Rahmad Mega. 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 2:22 PM