DATUK NASH.
DATUK NASH.
Syafil Syazwan Jefri


Kuala Lumpur: Penyanyi, Datuk Nash yang cukup dikenali sebagai penyanyi kumpulan Lefthanded mengakui gementar apabila bertanding dalam program realiti TV Hijrahkan Laguku walaupun sudah lebih empat dekad beraksi sebagai penyanyi.

Nash atau nama sebenarnya Nashrudin Elias, 62, berkata, dia sentiasa reda dan bersiap sedia sekiranya namanya diumumkan sebagai peserta yang tersingkir dalam program yang disiarkan secara langsung di TV Alhijrah setiap Sabtu itu.

"Setiap minggu, perasaan gemuruh memang tak dapat dielakkan. Saya reda walaupun tersingkir. Yang penting, saya nak berdakwah melalui lagu," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, ini adalah platform terbaik untuk penyanyi tanah air menyampaikan dakwah menerusi karya muzik.

"Platform yang disediakan TV Alhijrah ini benar-benar patuh syariah dan dalam pada kita menyajikan satu pertandingan realiti TV berkonsep nyanyian, ada dakwah yang disampaikan kepada penonton.

"Rata-rata penonton memberikan komen positif mengenai program ini," katanya.

Diumumkan sebagai pemenang persembahan terbaik pada episod lalu, Nash juga berkongsi mengenai karya-karyanya bersama Lefthanded serta solo yang sebenarnya memiliki maksud tersirat.

"Kalau anda meneliti lagu-lagu Lefthanded dan lagu-lagu solo saya, 90 peratus adalah lagu-lagu ketuhanan dan secara tak langsung membawa mesej positif kepada pendengar.

"Alhamdulillah, dari situ banyak pilihan lagu yang saya boleh pilih tanpa perlu menukar liriknya memandangkan ia sesuai dengan konsep program ini," katanya.

Terbaru, Nash akan menunaikan umrah buat kali keempat Januari ini dan bekerjasama dengan agensi umrah, A&M Berkat Travel & Tours Sdn Bhd serta platform lagu-lagu nasyid, Islamic Tunes untuk membawa jemaah Malaysia ke Makkah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Disember 2021 @ 4:22 PM