ARTIS warga India dikesan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk melakukan persembahan tanpa kelulusan. FOTO Ihsan JIM Kuala Lumpur.
ARTIS warga India dikesan menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial untuk melakukan persembahan tanpa kelulusan. FOTO Ihsan JIM Kuala Lumpur.
Mohd Haris Fadli Mohd Fadzil


Kuala Lumpur: Selebriti warga India direman 14 hari selepas disyaki menyalahgunakan Pas Lawatan Sosial (PLS) untuk membuat persembahan di sebuah kelab malam di Jalan Sultan Ismail, di sini awal pagi tadi.

Difahamkan penyanyi itu antara enam warga asing yang ditahan dalam Ops Gegar Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur bagi membanteras penyalahgunaan PLS oleh selebriti luar negara.

Modus operandi itu dikesan digunakan penghibur asing dan beberapa pengusaha pusat hiburan, bar serta restoran yang tidak memenuhi syarat bagi memohon permit daripada Pusat Permohonan, Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, bertindak di atas maklumat risikan dan aduan awam, pihaknya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerbu premis itu pada 12.20 tengah malam tadi.

"Keseluruhannya 256 individu diperiksa merangkumi 143 lelaki dan 103 wanita tempatan, lima lelaki warga Bangladesh dan lima lelaki warga India.

"Enam Pati ditahan termasuk lelaki warga India yang sedang membuat persembahan dan lima lelaki warga Bangladesh," katanya kepada Harian Metro hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati selebriti berkenaan masuk ke Malaysia menggunakan PLS pada 29 April dan tiada kelulusan daripada Puspal untuk membuat persembahan di ibu negara.

Katanya, kesemua Pati berusia lingkungan 19 hingga 39 tahun direman 14 hari di Depoh Imigresen Bukit Jalil, di sini bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"JIM Kuala Lumpur memberi peringatan tegas kepada semua pihak terutama artis warga asing, adalah diwajibkan mempunyai pas yang membenarkan mereka membuat persembahan.

"Tindakan juga akan dikenakan ke atas pemilik premis terbabit kerana melindungi atau menggajikan Pati kerana menggunakan pas pelawat sosial atau pelancong untuk bekerja adalah salah dan akan dikenakan tindakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 4:46 PM