ANGGOTA Hazmat melakukan pemeriksaan di lokasi kilang yang mengalami kebocoran gas. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA Hazmat melakukan pemeriksaan di lokasi kilang yang mengalami kebocoran gas. FOTO Ihsan Bomba.
Zuliaty Zulkiffli


Kulim: Empat pekerja kilang produk berasaskan plastik di Lunas terpaksa dikejarkan ke Hospital Kulim selepas terhidu gas bocor di kilang itu hari ini.

Dua daripadanya dalam keadaan separa sedar, manakala dua lagi mengalami pening dan loya selepas terhidu gas phenol.

Komander Operasi Kanan merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba Hamizul Azwan Hamdan berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 9.53 pagi dan pasukan 16 anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Mohd Yazan Yahya dikerah ke lokasi.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah turut memaklumkan pasukan Hazmat dengan Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah sebagai rujukan.

"Dua lelaki separa sedar dibawa ke Hospital Kulim dengan ambulans Kementerian Kesihatan, manakala dua lagi yang loya dan pening dibawa ke hospital sama oleh jentera EMRS Bomba," katanya.

Menurutnya, pasukan Hazmat Kulim Hi Tech kemudian mengesahkan tiada lagi bacaan bahan kimia berbahaya di lokasi kilang berkenaan dan operasi tamat pada 11.50 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 4:31 PM