DATUK Nash tak kurang hebat dan masih berbisa.
DATUK Nash tak kurang hebat dan masih berbisa.
Najiy Jefri

Program Hijrahkan Laguku sudah membuka tirai minggu pertama dengan persembahan yang cukup bertenaga daripada lapan bintang pada malam Sabtu lalu.

Bertemakan Hijrah, program nyanyian berkonsepkan realiti TV itu berjaya menggabungkan penyanyi lama dan baharu iaitu Datuk Nash, Iwan Syahman, Rahmad Mega, Zack Kool, Zaf VE, PG Adam, Shahir Zawawi dan Mark Adam.

Melihat kepada persembahan setiap bintang pada konsert minggu pertama yang bersiaran secara langsung di TV Al-Hijrah, rata-rata penyanyi mempamerkan persembahan yang mantap dan memiliki pesona tersendiri.

Apa yang mengujakan, setiap bintang berjaya mengubah lirik lagu hits mereka dengan menyelitkan mesej-mesej positif serta dakwah bagi mengajak penonton untuk mendekati agama Islam.

Malah, melihat maklum balas di internet, penonton nyata terhibur dengan persembahan kesemua bintang yang dilihat sudah bersedia untuk berjuang dalam program realiti itu.

Shahir ketika ditemui berkata, dia mengakui gugup sebelum membuat persembahan kerana sudah lama tidak beraksi di pentas secara langsung.

SHAHIR syukur tiada penyingkiran.
SHAHIR syukur tiada penyingkiran.

"Kalau diikutkan sudah empat tahun saya tidak membuat persembahan secara langsung. Jadi pastilah ada rasa gugup sikit, tapi saya gembira sebab kesemua peserta ibarat abang-abang saya dan persekitaran di sini sangat berbeza.

"Jujur cakap, kami macam tidak bertanding dalam program ini walaupun konsepnya ada penyingkiran. Tapi, di sini kami bagai keluarga. Apa yang kami nak bawakan dalam program ini adalah hiburan dalam bentuk yang baharu," katanya.

Memilih lagu hits berjudul Aku Yang Berdosa, Shahir nyata tampil kelainan apabila mengubah lirik asal kepada menyayangi kedua ibu bapa.

RAHMAD Mega akur di kedudukan kedua.
RAHMAD Mega akur di kedudukan kedua.

"Saya memang sengaja ubah lirik lagu ini kerana mahukan kelainan. Sebelum ini pendengar faham yang lagu ini menceritakan mengenai rintihan kepada Tuhan.

"Tapi kali ini saya nak bawa sesuatu yang baharu kepada pendengar, lebih-lebih lagi ada yang ramai tidak berkesempatan pulang ke kampung menjenguk ibu bapa kerana pandemik berlaku. Jadi, lagu ini diharapkan dapat mengingatkan mereka supaya tidak mengabaikan ibu bapa," katanya yang bersyukur minggu pertama konsert terbabit tiada penyingkiran.

Pada konsert minggu pertama, Hijrahkan Laguku turut mengumumkan juri tetap iaitu komposer terkenal, Fauzi Marzuki manakala Datuk Badli Shah Alauddin selaku juri jemputan.

Hijrahkan Laguku yang melabuhkan tirai jam 11 malam itu menyaksikan Iwan menduduki di tangga pertama dengan 90 markah, diikuti Rahmad Mega (86 markah) dan Datuk Nash (76 markah).

IWAN dapat markah tertinggi daripada juri.
IWAN dapat markah tertinggi daripada juri.

Melihat perjalanan persembahan minggu pertama, Fauzi berharap lapan bintang yang terbabit akan tampil dengan lagu lebih popular berserta lirik yang kreatif selari dengan konsep program ini.

"Peserta yang terbabit semuanya mempunyai pengalaman menyanyi. Cuma, saya harap pada minggu seterusnya, mereka lebih berani tampil dengan lagu yang popular dan lirik lebih kreatif.

"Saya mahukan persembahan yang boleh membuatkan penonton merasai setiap bait-bait lirik yang ditulis," katanya lagi.

Program hiburan istimewa ini juga menampilkan Faizal Ismail dan Bell Ngasri selaku hos. Hijrahkan Laguku bersiaran secara langsung di TV Al-Hijrah setiap Sabtu, jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 November 2021 @ 6:35 AM