ANTARA artis yang membuat persembahan seperti Hattan, Alyah, Faizal Tahir dan ramai lagi.
ANTARA artis yang membuat persembahan seperti Hattan, Alyah, Faizal Tahir dan ramai lagi.
Sudirman Mohd Tahir


TV AlHijrah bakal melakar sejarah apabila buat pertama kalinya menggabungkan dua pendakwah terkenal bersama 10 penghibur tanah air menerusi rancangan Muhammad Kekasih Agung bagi meraikan sambutan Maulidur Rasul esok.

Mereka terdiri daripada Ustaz Wadi Annuar dan Ustaz Jafri Abu Bakar yang akan menyampaikan tausiah, manakala Datuk Hattan, Faizal Tahir, Amerul Affendi, kumpulan Kopratasa, Daqmie, Ijam Medicine, Naqiu, Datin Alyah, Ustazah Sharifah Khasif serta kumpulan nasyid Zayne bagi membuat persembahan.

Rancangan Muhammad Kekasih Agung adalah sebuah program seni persembahan Islamik yang disiarkan secara langsung selama dua jam iaitu bermula jam 9 hingga 11 malam.

Rancangan ini mengangkat tema sambutan Maulidur Rasul TV AlHijrah iaitu Manhaj Rabbani, Negara Harmoni dengan menggabungkan bacaan al-Quran, qasidah, selawat, monolog, sajak, tausiah serta nyanyian mengenai Rasulullah.

Seawal jam 6 petang, penonton boleh menonton Di Ambang Muhammad Kekasih Agung yang menampilkan Ustaz Jalaluddin Mohd Zaiki bagi meninjau persiapan belakang tabir kru dan personaliti.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris berkongsi aspirasi mengenai penerbitan rancangan ini yang dijangka bakal mencatat peratusan tontonan yang tinggi.

NAMANZEE
NAMANZEE

"Kekuatan rancangan Muhammad Kekasih Agung terletak pada gabungan dua elemen utama dalam penerbitan sesebuah rancangan hiburan Islamik. Pertama, sudah semestinya objektif serta konsep rancangan.

"Kami pilih untuk menerbit dan menyiarkan rancangan ini kerana sebagai umat Islam, semua sedia maklum bahawa pintu utama untuk meraih kecintaan Allah SWT terhadap kita semua adalah melalui kekasih-Nya iaitu Baginda Rasulullah SAW," katanya.

Menurut Namanzee, program ini bakal membawa penonton menelusuri perjalanan kehidupan Rasulullah.

"Rancangan ini mencipta rasa rindu kepada Nabi Muhammad kerana kita bawa penonton menelusuri perjalanan kehidupan Baginda bermula detik kelahiran, kisah sebelum kenabian, detik wahyu diturunkan, cabaran dakwah, tahun dukacita, Israk dan Mikraj, hijrah ke Madinah, khutbah terakhir hingga saat kewafatan Nabi.

"Keduanya, kami tampilkan pendakwah hebat serta penghibur berdedikasi yang memiliki ilmu, kekuatan vokal serta penghayatan penuh emosi dalam menyingkap semula tabir perasaan cinta penonton kepada Nabi Muhammad," katanya.

Selain itu. TV AlHjrah turut menyiarkan rancangan istimewa lain sempena Maulidur Rasul seperti siaran langsung Hijrah Anak Muda bermula hari ini jam 6 petang, siaran langsung Di Ambang Muhammad Kekasih Agung esok bermula jam 6 petang, siaran langsung Bincang Niaga Istimewa Keluarga Malaysia pada 20 Oktober ini jam 4.30 petang, Al-Quran Johan-Johan Kebangsaan pada 26 Oktober depan jam 9 malam dan Gema Haflah pada 30 Oktober depan jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Oktober 2021 @ 6:11 AM