Kuala Lumpur: Kejohanan Junior Purple League yang bermula dari 15 hingga 18 Oktober ini bakal menjadi medan pembuka tirai menjelang aksi utama Purple League musim kedua.

Ia sejajar dengan visi Purple League (M) Sdn Bhd iaitu menjadi platform kepada pemain badminton remaja berusia 13 hingga 18 tahun untuk beraksi di peringkat tertinggi.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Purple League Sdn Bhd, Datuk Jack Koh, Junior Purple League adalah satu ruang untuk membolehkan pemain muda membina reputasi mereka untuk menjadi bintang baru.

“Junior Purple League adalah lanjutan daripada aksi Purple League Rookie Cup musim lalu dan dijangka lebih 200 pemain tempatan serta antarabangsa mengambil bahagian,” katanya.

Jelasnya, beberapa pemain muda ternama dari Japan, Indonesia, Thailand, Taiwan dan India akan bertarung dengan pemain tempatan.

“Antara pemain berkenaan ialah Firman Abdul Kholik dan Gregoria Mariska (Indonesia), Lu Chia Hung (Taiwan), Pornpowee Chochuwong (Thailand) serta pemain bintang tempatan, Ooi Zi Heng, Muhammad Iqram Maula Azman, Leong Jun Hao, Yeoh Seng Zoe, Shahzan Shah, Lee Zii Jia dan Soh Wooi Yik,” katanya.

“Malaysia tidak kurang pemain muda berbakat sebagai contoh, selepas menunjukkan prestasi luar biasa dalam Purple League tahun lalu. Contohnya, Cheam June Wei yang mewakili Kelab Badminton Nusajaya dipanggil untuk menyertai pasukan Piala Sudirman tahun ini.

“Goh Jin Wei yang berusia 15 tahun yang memiliki bakat luar biasa dan dibimbing Kelab Badminton Serdang untuk bersaing dalam Purple League, berjaya menumpaskan beberapa pemain senior,” katanya.

Junior Purple League akan dijalankan dalam format ‘round-robin’ dengan semua kelab akan bertanding dengan satu sama lain dalam liga ini. Kesemua perlawanan akan dijalankan di gelanggang badminton kelab masing-masing supaya mereka berpeluang menjadi tuan rumah.

Tiga pasukan teratas akan meraih hadiah wang tunai dengan juara membawa pulang RM100,000 diikuti naib juara, RM50,000 dan tempat ketiga RM25,000.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Ogos 2015 @ 10:20 AM