Chong Wei akan bimbing dan menilai standard permainan pemain muda. FOTO BERNAMA
Chong Wei akan bimbing dan menilai standard permainan pemain muda. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Petaling Jaya: Pemain badminton utama negara, Datuk Lee Chong Wei dilantik menjadi duta kepada Kejohanan Purple League bermula musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Purple League (M) Sdn Bhd Datuk Jack Koh berkata, perlantikan pemain nombor dua dunia itu dibuat berdasarkan rekod cemerlang Chong Wei.

Katanya menerusi pelantikan itu, Chong Wei akan mendapat pengalaman berharga membimbing pemain muda sambil menilai standard permainan bagi melahirkan kelompok pemain muda yang lebih besar untuk negara.

"Kami berpendapat kerjasama antara kedua-dua pihak membolehkan kami bersama meningkatkan pembangunan sukan ini selain menggunakan reputasinya (Chong Wei) sebagai pemain badminton negara," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Mengenai Purple League musim 2016/2017, Koh berkata pasukan yang akan bersaing kekal lapan kelab manakala bagi Purple League Remaja, pertandingan divisyen dua diperkenalkan tahun ini bagi memberi peluang lebih ramai pemain muda berbakat untuk beraksi.

"Ketika ini, kebanyakan kelab mengimport pemain daripada mendedahkan pemain mereka sendiri dan dengan pengenalan divisyen dua Purple League Remaja, lebih banyak kelab baru akan bersaing, sekali gus lebih ramai pemain dapat beraksi" kata Koh.

Chong Wei pula memuji usaha dilakukan penganjur untuk meneruskan kejohanan bagi mencari lebih ramai bakat baru negara ini.

"Saya sendiri bermain dalam liga ini selain liga di Indonesia dan China. Ia adalah cara terbaik untuk kita mencari lebih ramai pemain berbakat.

"Pada masa sama, kehadiran beberapa pemain kelompok 10 terbaik dunia dalam Purple League sejak dua musim lepas membolehkan pemain kebangsaan seperti Iskandar Zulkarnain (Zainuddin) mengukur prestasi mereka dengan lawan itu," kata pemenang dua pingat perak Sukan Olimpik itu.

Sebagai rekod Kelab Badminton Muar adalah juara dua kali berturut-turut untuk musim 2014/15 dan 2015/16.

Purple League diperkenalkan pada 2013 oleh Koh yang mahukan platform baru bagi kejohanan tempatan sambil membantu meningkatkan mutu sukan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Mei 2016 @ 4:07 PM