Kuala Lumpur: Pasaran perpindahan pemain akan dibuka buat 12 kelab untuk membolehkan mereka menambah pemain tempatan dan antarabangsa bagi saingan badminton Kopiko Purple League.

Seramai 38 pemain baru akan menyertai 12 kelab berkenaan termasuk dua pemain terbaik dunia, Kenichi Tago dan Jan O Jorgensen yang akan mewakili pasukan Petaling BC.

Kenichi Tago berkata, dia akan mengurangkan aktiviti badminton dalam kariernya, tetapi bersedia untuk beraksi pada kejohanan itu manakala kehadiran Jorgensen yang berada di ranking nombor tiga dunia bakal memantapkan lagi pasukan berkenaan.

Bagaimanapun, Jorgensen baru-baru ini tumpas kepada Kento Momota yang bakal beraksi bersama Kajang BC, di saingan Siri Super Akhir 2014 18 Disember lalu dan sudah pasti dia akan membalas dendam kekalahan itu dalam saingan Kopiko Purple League.

Ampang Jaya BC pula berjaya menyambar salah seorang pemain berbakat dalam acara beregu wanita, Ng Hui Ern.

Hui Ern yang baru saja menamatkan pengajian dalam bidang ekonomi di Universiti Loughborough, England, berjaya mengimbangi antara pelajaran dan badminton.

Mereka sebelum ini pernah berada tujuh anak tangga di belakang pemenang pingat emas Sukan SEA Myanmar 2013, Woon Khe Wei-Vivian Hoo yang kini berada di ranking ke-19 dunia.

Pemain Singapura, Vanessa Neo dan gandingan berpengalaman, Danny Bawa Chrisnanta akan menyertai Bangsar Hawks.

Gandingan ini pernah menduduki tempat kesembilan dunia dan meraih kejuaraan Terbuka Belanda tahun lalu.

Turut menyertai pasukan nombor satu musim pertama, Puchong United BC ialah pemain berusia 18 tahun dari Fukushima, Jepun, Aya Ohari.

Dia pernah meraih emas Kejohanan Remaja Asia 2013 dan pingat perak Kejohanan Remaja Dunia, sekali gus kehadirannya bakal menghangatkan lagi saingan perseorangan wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:15 AM